Jangan Berhenti ‘Infaq’ Di Saat Jadi Kerajaan

642

KUALA TERENGGANU – Ahli dan penyokong PAS disarankan agar meneruskan serta tidak berhenti menghulurkan infaq (sumbangan) di saat menjadi kerajaan di Negeri Terengganu.

Bendahari PAS Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata jangan dianggap apabila sudah memerintah negeri maka PAS sudah memiliki kekayaan.

“Itu kerajaan, kerajaan lain, PAS lain. Jangan (sesekali) dianggap duit kerajaan (adalah) duit PAS.

“Duit PAS (untuk) PAS, duit kerajaan (berbeza) pengurusan dia, ada (memiliki amanah) dia, ada prosedur (dan) ada ketetapan yang telah ditetapkan melalui audit kerajaan sendiri,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika tampil pada Program Wawancara Harap TV, mengulas mengenai ‘Ekonomi Negara dan Cabaran PAS Terengganu’ di Harap TV, pada Isnin, 30 September.

Katanya, disaat Rasulullah berjaya memerintah Madinah Al-Munawarah galakkan infaq diteruskan oleh baginda.

“(Sehingga) ada ayat yang berkait dengan infaq khususnya didalam surah al-Baqarah surah madaniyyah yang diturukan selepas hijrah nabi, nabi (Rasulullah) tetap memberi galakkan, infaq, infaq, infaq,” tegasnya.

Oleh itu sumbangan boleh diteruskan melalui tabung-tabung diwujudkan sebagaimana sebelum ini.

“Ada orang yang letak tabung 50 sen, tak apa, teruskan infaq tuan-tuan.

“Sebab pahala ini tidak membezakan bahkan orang yang terus memberi infaq (akan) dapat pahala,” ujarnya.

Beliau yakin bahawa roh mengeluarkan infaq ini masih ada didalam kalangan ahli PAS dan juga di kalangan pemimpin parti itu sendiri.

Infaq dan sumbangan dari masyarakat dan ahli secara khususnya sudah tentu membina kekuatan jemaah, jelasnya, kerana pelbagai program dan segala aktiviti dilakukan PAS berhajat kepada sumber kewangan.

Terangnya lagi, PAS turut berhajat pada dermawan juga bagi membantu sistem pendidikan yang sedang dibina PAS.

Turut dinyatakan olehnya, usaha dilakukan PAS Pusat bagi mengukuhkan sumber kewanganya bagi digerak jauh ke hadapan.

“Seperti PAS Pusat sedang membina pasaraya ummah dan membina rangkaian ekonomi.

“Walaupun demikian, asasnya sumbangan daripada rakyat dan ahli-ahli PAS,” ucapnya.

Jelasnya, kerana memang ekonomi adalah faktor kekuatan jemaah.

“Tetapi kalau tiada duit bermakna bukan program tidak berjalan. Alhamdulillah setakat ini kita buat program insya-Allah dapat duit.

“Dengan pengorbanan yang telah ada kepada ahli-ahli PAS, dengan pengorbanan (serta) perjuangan dan mereka sedar apabila mereka infaq kepada PAS mereka mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT untuk membuat kerja Islam,” ucap beliau