Jaga Kebersihan Jamin Kesejahteraan Hidup

164

Oleh: Muhd Afiq Zohir

BESUT – Kesedaran menjaga kebersihan mesti ada dalam diri setiap orang muslim bagi menjamin kesejahteraan hidup.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Besut, Muhd Hakim Zulfikri berkata, amalan tersebut samada di segi fizikal mahupun rohani amat dituntut dalam agama Islam.

“Ini kerana kesempurnaan seseorang mukmin selepas beriman kepada Allah ialah menjaga kebersihan, sama ada kebersihan terhadap dirinya sendiri mahupun persekitarannya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Gotong Royong Pemuda Besut yang bertempat di Pantai Bukit Keluang, Kampung Raja pada semalam.

Oleh itu, menurutnya, program sebegini amat sesuai bagi mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah disamping berbakti kepada alam sekitar.

“Kehadiran pemuda dan orang awam menggambarkan bahawa kita saling berkerjasama bagi menjaga kebersihan pantai serta menjaga persekitarannya daripada terancam,” ujar beliau.

Hakim menambah, seramai 100 orang pemuda menyertai gotong-royong tersebut.