Jadikan Masjid Sebagai Pusat Pembinaan Masyarakat

256

KUALA TERENGGANU – Ahli-ahli Jawatankuasa (AJK) masjid diingatkan supaya menjadi ejen pemangkin kepada moto Kerajaan Negeri Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera, dengan menunjukkan satu contoh yang baik kepada masyarakat.

Ketua Penerangan PAS Terengganu Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, atas dasar itu, masjid seharusnya dijadikan sebagai pusat ilmu kepada rakyat, sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh rasulullah, sehingga berjaya mendirikan sebuah bandar Madinah dengan penduduk yang bertaqwa.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Sijil Perlantikan Ajk Masjid, yang diadakan di Pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan dihadiri kira-kira 30 orang, mewakili beberapa masjid di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Turut hadir pada Majlis 2 Disember itu ialah Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu/ Kuala Nerus, Haji Azmi Tengah dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Soud Said.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu turut mengingatkan Ajk bahawa maksiat yang paling besar yang berlaku dalam masyarakat ialah maksiat kejahilan, dan amat malang jika mereka berada dalam jahil keatas jahil, iaitu dia tidak tahu yang dia jahil.

“Inilah yang kita mahu basmi, maka kita kena adakan majlis ilmu di masjid-masjid.

“Masyarakat kena ada sikap ubudiyyah, iaitu pengabdian kita kepada Allah, masjid adalah tempat untuk manusia menghambakan diri kepada Allah, maka Ajk dahulu mesti tunjukkan sikap ini kepada kariah mereka,” katanya

Justeru, kata beliau, biar orang lihat pengurusan masjid ini terbaik dengan Ajk mempersembahkan kepada masyarakat yang mereka adalah barisan depan yang memperindahkan masjid itu sendiri.

Katanya, jangan dijadikan masjid sebagai tempat berbalah kerana masjid adalah tempat islah iaitu tempat bagi membaiki dan membina masyarakat yang baik dari segi pergaulan mereka dengan Allah dan manusia,” tegas beliau.

Beliau turut menekankan kebersihan masjid yang tidak diuruskan dengan baik, supaya menggunakan dana yang ada agar dibaiki kerosakan seperti tandas dan persekitaran masjid.

Ustaz Mohd Nor juga memberi amaran jangan ada Ajk yang pecah amanah dan semua masalah yang timbul mesti diselesaikan dengan cara terbaik, mengikut kehendak agama kerana masjid adalah harta orang ramai.

“Manakala kursus-kursus yang dianjurkan oleh JHEAT, perlulah sentiasa dihadiri oleh Ajk masjid agar mendapat maklumat terbaharu bagi menambah baik pengurusan yang ada.

“Pengurusan masjid juga boleh mengembangkan lagi fungsi mereka jika masjid mereka cantik dan terletak di kawasan yang strategik, ia boleh juga dibuat sebagai tarikan kepada bukan Islam, bagi menyebarkan dakwah kepada mereka,” jelasnya

Menurutnya, tempoh perkhidmatan bagi AJK masjid-masjid di Terengganu ialah selama setahun dan kebiasaannya akan disambung dengan segera.