Jabatan Amal Terengganu Beri Penghormatan Terakhir

11199

Oleh: Aslam Wira

MARANG – Anggota Jabatan Amal Malaysia negeri Terengganu (JAMNT) hadir ke ketika pengebumian arwah Salim Mat Alim, 52, sebagai tanda memberi penghormatan terakhir kepada Ahli Jabatan Amal Malaysia tersebut.

Pengarahnya, Tuan Sauji Abd Rasid berkata, kematian beliau diibaratkan perginya sebutir mutiara perjuangan Jabatan Amal Malaysia Negeri Terengganu.

“Sebagai wakil JAMNT, saya merakamkan ucapan takziah kepada isteri dan seluruh ahli keluarga di atas pemergian Salim Mat Alim.

“Arwah dipercayai dimasukkan ke hospital Sultanah Nur Zahirah Terenggganu (HSNZ) akibat demam dua minggu selepas menyertai Himpunan Aman Bantah ICERD di ibu negara Disember lalu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Rusila semalam, 8 Disember.

Katanya, Salim meninggal dunia pada jam 10:55 pagi di hospital selepas dua hari tidak sedarkan diri dan bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.

Terdahulu, ketika dimasukkan ke hospital beliau pernah diziarahi Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, iaitu Sabri Zakaria yang menyampaikan salam dari YAB Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sehubungan dengan itu, Komander Jabatan Amal Kawasan Marang Azmi Aminuddin Ahmad berkata, beliau adalah seorang anggota amal yang begitu komited dengan kerja-kerja kebajikan.dan bersama-sama dalam program yang dianjurkan oleh Unit Amal.

Azmi menambah, arwah telah menyertai jabatan amal sejak awal 2003 dan pernah memegang beberapa jawatan penting dalam jabatan seperti Ketua Amal DUN Rhu Rendang.

“Selama mengenali arwah, beliau tidak pernah merungut dan mengasingkan diri dari kerja jemaah dan jabatan.” jelasnya.

Turut hadir ketika pengebumian arwah adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong dan Pegawai Khas ADUN Rhu Rendang, Wahad Osman.