Jabatan Amal Sumbang Bakti Pindah Rumah Penduduk OKU

207

Oleh: Aslam Wira

MARANG – Jabatan Amal Malaysia Rhu Rendang telah bersama-sama menyumbang tenaga bagi membantu beberapa orang penduduk Taman Rahmat yang berpindah ke rumah baharu.

Komandan Amal Malaysia Marang, Mohd Izuha Kamal berkata, pasukan itu sentiasa bersedia memberikan khidmat bagi membantu mereka yang memerlukan.

“Hari ini, beberapa ahli Jabatan Amal di peringkat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang telah turun membantu proses perpindahan sebanyak tiga buah rumah yang mula berpindah beberapa hari lepas.

“Kebanyakan penerima adalah mereka yang tergolong daripada Orang Kelainan Upaya (OKU) dan orang yang tidak berkemampuan dari sudut kewangan.”

“Kerja-kerja kebajikan seperti ini bukan baru dilakukan, malah telah lama iaitu sejak awal penubuhan Jabatan Amal dulu, “ katanya kepada pihak media ketika turut serta dalam proses perpindahan pada hari Rabu, 17 Jun.

Menurutnya, Jabatan Amal juga bukan sekadar melakukan kerja-kerja kebajikan seperti ini namun mempunyai pelbagai unit lain seperti, lalulintas, marin, semboyan, medik dan pelbagai lagi.

Turut hadir adalah Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman dan Pegawai Khas Pusat Khidmat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng.

Sebelum ini, 10 orang penerima telah menerima kunci Program Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) yang diserahkan oleh Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang.

Beberapa orang penduduk sekitar dan kakitangan Pejabat Daerah Marang juga turut membantu proses mengangkat barang dari rumah lama ke rumah baharu.