Jabatan Amal Dungun Lancar Skuad Bersih

383

Oleh : Amiirullah Mansor

DUNGUN – Jabatan Amal, satu sayap Dewan Pemuda PAS telah berjaya melancarkan Skuad Bersih Amal bagi kawasan Dungun.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Dungun, Ahmad Zafran Ismail berkata, pelancaran tersebut diadakan bersempena kempen ‘Terengganu Bersih’.

“Bersempena program hari ini kita akan tubuhkan Skuad Amal Kawasan Dungun bagi menzahirkan satu sikap tanda sokongan kami terhadap kempen ini.

“Jelasnya, dengan tubuhnya skuad ini, kempen Terengganu Bersih tidak terhenti disini sahaja,” ujar Zafran.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Kempen Terengganu Bersih di Pantai Teluk Lipat Dungun, Sabtu, 13 Julai.

Menurutnya, skuad tersebut telah dirasmikan oleh Yang DiPertua PAS Kawasan Dungun, YB Ustaz Wan Hassan Wan Ramli dengan gimik menyarungkan baju Amal Dungun.

Kata beliau, kempen tersebut adalah anjuran bersama dengan Pemuda PAS DUN Sura, Jabatan Amal Dungun (JAD) dan DPPKD.

“Ianya juga, mendapat sambutan yang baik daripada orang awam di sekitar itu.

“Insya-Allah Jabatan Amal melalui skuad mereka akan pergi ke pantai – pantai Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lain seperti di pantai DUN Rantau dan pantai DUN Paka,” jelasnya.

Selain itu, beliau berkata, kebanyakan masyarakat hanya tahu tugas Jabatan Amal hanya menjaga lalu lintas, membantu dalam misi dan kebajikan sahaja.

“(Tapi) hari ini kita membuktikan Jabatan Amal bukan sahaja menjalankan kerja kebajikan bahkan mereka mampu melakukan kerja kebersihan dengan tertubuhnya Skuad Bersih ini,” kata beliau.

Justeru itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir menjayakan kempen tersebut.

“Semoga diberikan kekuatan untuk teruskan dan tidak terhenti di sini serta jadikan ia satu budaya dalam mengamalkan kebersihan,” tambahnya lagi.