Isytihar Harta: PAS Setuju Jadi Akta, Bukan Usul

495

Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS – Parti Islam Semalaysia (PAS) telah mengambil pendirian bahawa tidak bersetuju sekiranya isu pengisytiharan harta hanya dijadikan sebagai usul, bukan akta.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ianya juga tidak boleh dihebahkan kepada semua rakyat kerana bercanggah dengan Islam.

“Usul ini tiada kuasa undang-undang kerana kalau tidak isytihar harta, tiada tindakan boleh diambil keatas Ahli Parlimen.

“Berbeza dengan akta kerana ianya adalah suatu kuasa yang boleh dikuatkuasakan, kita menyatakan bahawa kerajaan Pakatan Harapan(PH) hanya main-main isu pengiystiharan harta kerana hanya membawa usul, bukan Rang Undang-undang (akta) di Parlimen,” terangnya.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata demikian di Program Ceramah Pasca Sidang DUN anjuran BPPNT yang diadakan di Markas Tarbiyyah Islamiyyah Seberang Takir (MARTIS) di sini pada 19 Julai.

Turut sama berceramah ialah Bendahari Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu(BPNT) Ustaz Mohd Nor Hamzah, Yang Di-Pertua PAS Kawasan Kuala Nerus, Haji M.Shukrimun Shamsudin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Harun.

“Mengikut kaedah Islam, pengiystiharan harta ini juga tidak boleh secara terbuka kepada orang awam, tetapi mesti tertutup kepada badan atau pihak berkuasa”, tegas beliau lagi yang juga merangkap Ahli Parlimen Kuala Nerus di hadapan ratusan penduduk sekitar Kuala Nerus yang hadir.