Isu PPSMI: Relevankah Diperkenalkan Semula?

193
YB Senator Dato’ Haji Husain bin Awang, Pesuruhjaya PAS Negei Terengganu merangkap Ahli Dewan Negara

Baru-baru ini, isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hangat diperkatakan dalam media selepas Kerajaan bercadang memperkenalkan semula dengan sistem baharu.

2. Adalah tidak relevan dasar PPSMI ini diperkenalkan semula selepas dimansuhkan pada tahun 2012 kerana memberi kerugian besar terhadap prestasi dan minat murid yang tergolong dalam kategori pencapaian sederhana dan lemah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

3. Majoriti murid yang tinggal di kawasan luar bandar gagal menguasai Bahasa Inggeris yang menyebabkan tahap pendidikan Malaysia menjunam. Oleh itu, kegagalan dasar PPSMI sebelum ini menyebabkan subjek Matematik dan Sains merosot dalam kalangan murid.

4. Kerajaan perlu mengambil iktibar dalam pelaksanaan semula PPSMI sebelum ini. Merujuk laporan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) pencapaian murid Malaysia semakin merosot dengan subjek Matematik berada pada kedudukan ke-26 manakala Sains pada kedudukan ke-32 pada tahun 2011. Laporan tersebut juga menyatakan pencapaian matematik dan sains murid yang tinggi adalah kebanyakan negara yang menggunakan bahasa ibunda berbanding murid yang menggunakan Bahasa Inggeris.

5. Manakala laporan Programme for International Student Assesment (PISA) menyatakan Malaysia berada di bawah gred purata antarabangsa dengan subjek Matematik berada di kedudukan ke-52 dan Sains pada kedudukan ke-53 pada tahun 2012. Malahan, murid Malaysia juga tidak suka bersaing berbanding negara lain di rantau ini seperti Vietnam, Singapura dan Thailand berdasarkan laporan PISA.

6. Sekiranya dasar sebenar Kerajaan untuk memperkukuhkan Bahasa Inggeris, Kerajaan seharusnya membuat penambahbaikan pembelajaran dan pengajaran subjek Bahasa Inggeris seperti Highly Immersive Programme (HIP) yang bertujuan meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid di seluruh sekolah.

7. Selain itu, Program Dwibahasa (DLP) di bawah dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMBI) yang dimulakan pada tahun 2016 bagi mengantikan PPSMI seharusnya dikaji semula kerana boleh mewujudkan dualisme iaitu teori yang berasaskan dua dasar yang berlainan dalam pendidikan apabila program ini dijadikan pilihan setiap sekolah.

8. Pada tahun lepas, Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan akan membentangkan kajian impak pelaksanaan Dual Language Programme (DLP) pada tahun ini. Persoalannya, bilakah DLP akan dibentangkan dan sejauh manakah keberkesanannya?

9. Murid bukan bahan eksperimen Kerajaan dan hak murid untuk memahami subjek Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda tidak boleh dinafikan oleh Kerajaan.

10. Malaysia boleh mencontohi sedikit sebanyak sistem pendidikan negara Belanda, Belgium dan Switzerland kerana rakyatnya boleh berbahasa Inggeris tanpa mengabaikan bahasa ibunda.

11. Tegasnya di sini, saya membantah sekeras-kerasnya perlaksanaan mana-mana dasar yang menggunakan Bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik sama ada PPSMI mahupun DLP. Kerajaan disarankan agar tidak mencetuskan konflik dan mengulangi kesilapan lalu yang cukup merugikan dalam sistem pendidikan yang sering berubah-ubah tanpa hala tuju yang sebenar.

“Islam Memimpin Perpaduan”

Dato Ustaz Husain Awang
Pesuruhjaya PAS Terengganu
Ahli Dewan Negara