Isu MP Serdang ; AMK Cabar Pemuda Umno Muzakarah Terbuka

270

http://buletinonline.net/images/stories/berita33/rosmahaurat.jpgPada 5 September 2010, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Terengganu Saiful Bahri Baharuddin, dalam kenyataannya di akhbar Sinar Harian telah mencabar Angkatan Muda Keadilan ( AMK ) Terengganu dan Dewan Pemuda PAS Terengganu bagi menyatakan pendirian berhubung dengan tindakan Ahli Parlimen Serdang, YB Teo Nie Cheng (DAP) masuk ke dalam surau dengan tidak menutup aurat.

Malah, Saiful Bahri juga mencabar agar kami, Pakatan Rakyat harus memberikan penjelasan kepada rakyat berkaitan isu tersebut yang di lihat neliau memberikan kesan negatif .

Justeru, saya sebagai Ketua AMK Negeri Terengganu menyahut cabaran Saiful Bahari dengan mencabar beliau untuk mengadakan Muzakarah Terbuka bagi membincangkan isu tersebut, agar dengan itu, rakyat akan dapat mendengar penjelasan berkaitan isu diatas, yang telah sengaja di’eksploitasi’ dan dipolitikkan oleh UMNO bagi tujuan mencetuskan suasana sumbang, rasis dan perselisihan agama.

Sebelum ini YB Teo Nie Cheng digambarkan menyampaikan ‘tazkirah’ oleh media milik UMNO yang akhirnya telah dinafikan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan beliau sendiri bahawa kehadirannya di Surau Al-Huda hanya bertujuan menghulurkan bantuan berbentuk sumbangan kerajaan negeri bagi memperbaiki pagar surau berkenaan , diminta menyampaikan ucapan serta berbuka puasa bersama anggota jawatankuasa serta jemaah surau dan kehadiran beliau ke dalam surau adalah tidak menyalahi dan hukumnya HARUS sepertimana yang termaktub dalam fatwa JAKIM .

Berkaitan isu ‘tidak menutup aurat’ yang cuba digembar-gemburkan oleh Pemuda UMNO setelah segala isu berjaya dipatahkan dan akhirnya menunjukkan kejahilan UMNO sendiri . Maka secara tegas kami AMK Negeri Terengganu menyatakan bahawa tindakan YB Teo tidak menutup aurat di dalam Surau Al-Huda adalah kesalahan yang tidak perlu dipertikai dan dieksploitkan serta dipolitikkan oleh Pemuda UMNO. Teguran dan nasihat telah diberikan kepada YB Teo berkaitan perkara tersebut , malah beliau telah menyatakan turut menyambut baik pesanan dan nasihat daripada semua pihak mengenai perkara tersebut dan akan lebih berhati-hati supaya tidak menimbulkan perasaan kurang senang dan perselisihan faham di kalangan umat Islam pada masa akan datang dan memohon maaf  terhadap kejadian tersebut.

AMK Negeri Terengganu mencabar Pemuda UMNO Negeri Terengganu bagi menjawab tindakan tidak melanggar hukum Islam yang dilakukan oleh Datin Seri Rosmah Mansur , Isteri Perdana Menteri 1 Malaysia yang telah membuka urat sewaktu membaca al-quran dan menyampaikan ucapan di dalam surau bersama wanita UMNO tanpa menutup aurat ?

Adakah tindakan tersebut adalah suci dan positif bagi Pemuda UMNO Terengganu dan seluruh ahli UMNO yang beragama Islam ? Sekiranya YB Teo bersikap sedemikian adalah tidak hairan kerana beliau adalah teramat jahil dan tidak mengetahui hukum keranan beliau bukan seorang Islam dan beliau juga tidak dinasihati ketika itu . Bagaimana pula dengan Datin Seri Rosmah Mansur dan wanita-wanita UMNO sepertimana didalam gambar?

Bagaimana pula dengan  program KARNIVAL JUARA RAKYAT DI SURAU AL-FALAH anjuran UMNO Kuala Langat dan  MAYC’ pada 9 Mei 2010 di dalam sebuah surau , di mana dijadikan sebagai tempat untuk menyolek , menghias model2 pertandingan rias pengantin dan dengan penuh biadap , jahil dan kurang ajar BERPAKAIAN SEPARUH BOGEL di dalam Rumah Allah tersebut. AMK sedia menpertontonkan video tersebut sekiranya Pemuda UMNO tidak mengetahuinya.

Sekali lagi saya mencabar Sdr. Saiful Bahari , Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bersedia bila-bila masa sahaja untuk diadakan Muzakarah Terbuka berkaitan isu ‘ aurat’ yang cuba dieksploit dan dipolitikkan oleh beliau bagi pihak Pemuda UMNO Negeri Terengganu .

Kalau sekiranya beliau tidak bersedia menyahut cabaran ini , kami menganggap beliau adalah terlalu bacul dan wajar meletakkan jawatan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang tidak bertanggungjawab terhadap kenyataan beliau bagi memimpin Pemuda UMNO Negeri Terengganu .

FARIZ MUSA
Ketua AMK Negeri Terengganu