Isu Kerajaan Campuran Tidak Pernah Dibincang

945

Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN – PAS Pusat tidak pernah berbincang mengenai kerajaan campuran walaupun timbul pandangan demikian selepas kerjasama politik dengan Umno.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Husain Awang berkata, ia adalah cadangan yang dibawa oleh pihak Umno dan bukannya daripada PAS

“Sebenarnya, saya suka hendak menyatakan bahawa di peringkat PAS Pusat, tidak pernah berbincang mengenai kerajaan campuran.

“Kerajaan campuran adalah gagasan yang dibawa oleh Timbalan Presiden Umno, jawatankuasa bersama yang dibentuk tidak pernah membincang agenda ini.

“Saya sebut ini, bukan hendak menyatakan bahawa kita tidak setuju, dan bukan (juga) menyatakan kita setuju, tetapi kita hendak menyatakan (inilah) kedudukan setakat ini,” ujar beliau.

Beliau yang juga anggota Dewan Negara berkata demikan ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kemaman Kali Ke-59, pada Sabtu, 16 Mac 2019, di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman, di sini semalam.

Ahli Majlis Syura Ulama PAS itu juga berkata landskap politik orang Melayu telah berubah setelah rakyat menolak Umno, tempat mereka bergantung harap dan menjadi pelindung Melayu dan Islam kini adalah PAS.

“Kalaulah kita tidak bersikap positif dalam perkembangan yang ada, mungkin suatu masa nanti, rakyat akan tolak kita habis-habisan, yang akan terima orang lain.

“Kepimpinan kita perlu bijak dan perlu berhati-hati dalam menangani perkembangan baharu ini.

“Marilah kita sama-sama tidak berbelah-bahagi memberikan sokongan padu kepada kepimpinan kita, kerana telah terbukti apa yang telah diputuskan oleh kepimpinan adalah sesuatu yang bijaksana, yang tidak sedikit pun merugikan kita selama ini,” tambah beliau.