Isi Kemerdekaan Dengan Mendaulatkan Islam

183

KUALA TERENGGANU – Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk mengisi kemerdekaan dengan memperkasa dan mendaulatkan agar Islam menjadi agama yang memerintah bukan diperintah.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat YB Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, tidak sayugia bagi umat Islam khususnya menyambut hari Kebangsaan dan menghayati pembebasan negara, mengikut sistem yang diwarisi zaman penjajah.

“rakyat Malaysia dipelawa untuk bersama dengan penyelesaian Islam yang dikemukakan PAS dan keadilan Islam di atas semangat ukhuwwah ke arah membina Malaysia yang lebih baik dengan petunjuk dari Allah Tuhan sekalian alam.

“Realiti yang boleh disaksikan pada hari ini, negara dihambat dengan pelbagai masalah yang mencengkam rakyat seperti kos sara hidup yang membebankan, ekonomi yang lemah, keselamatan dan yang paling ketara, isu perpaduan kaum yang semakin rapuh.

“Kita juga menyaksikan bagaimana realiti yang dihadapi oleh pendakwah-pendakwah dan pejuang-pejuang agma yang menghadapi pelbagai bentuk cabaran dan ancaman moden dalam melaksanakan tugas-tugas dakwah dan memperkasakan agama Islam,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan medianya sempena Hari Kemerdekaan yang ke-62 pada hari ini.

Menurutnya, kemerdekaan adalah suatu nikmat yang sangat diidamkan oleh setiap insan di dunia dari zaman dahulu hingga sekarang.

“Kita perlu memahami kemerdekaan yang sebenar dalam kacamata Islam, iaitu seperti apa yang pernah diucapkan oleh Rub’i bin ‘Amir kepada Panglima Rustam: “Allah mengutuskan kami untuk mengeluarkan sesiapa yang Ia kehendaki, daripada perhambaan kepada manusia kepada perhambaan hanya kepada Allah SWT, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat,

“Manakala penjajahan dan perhambaan pula adalah sesuatu yang menyakitkan. Maka Islam mengarahkan agar setiap manusia hidup dalam keadaan merdeka,” ujarnya.

Kata beliau, Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) ingin menawarkan penyelesaian Islam yang telah terbukti memberikan keadilan dan keamanan kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Pembentukan kemerdekaan melalui penyelesaian Islam seperti ini dibuktikan oleh Nabi Muhammad SAW yang memimpin Negara Islam Madinah. Sejak terdirinya Madinah, cahaya Islam telah menerangi seluruh alam sehingga tempiasnya bersinar menyuluh kegelapan Eropah yang tenggelam dalam kezaliman Feudalisme dan Gereja,” kata beliau.

Justeru itu, beliau mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-62 kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan bangsa.