Institusi Pendidikan PAS, Hanya Di Terengganu

1202

Oleh : Muhammad Najib Ismail

HULU TERENGGANU – Hanya Negeri Terengganu sahaja yang mempunyai institusi pendidikan sendiri di bawah seliaan Parti Islam SeMalaysia(PAS).

Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Ustaz Husain Awang, PAS mempunyai Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di bawah Dewan Pemuda, Sekolah Rendah Islam (DAR) dan Ma’had Darul Quran dan Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI) yang diseliakan oleh Dewan Ulama Negeri dan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT).

“Walaupun dengan kekangan kewangan yang agak teruk, kita tetap meneruskan institusi pendidikan ini kerana di sinilah lahirnya para pejuang yang mengisi sayap-sayap perjuangan kita di masa sekarang”.

“Kekuatan sekolah kita adalah disebabkan kerana kita sendiri yang menyelia sekolah ini. Tidak seperti Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) yang kita tubuhkan ketika memenangi Terengganu pada tahun 1999 dahulu, akhirnya terkubur selepas kita (PAS) kalah pada pilihanraya 2004.” ujarnya

Ahli Majlis Syura Ulama itu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Guru bersama Alumni Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah di Dewan Al-Marhum Tuan Guru Haji Harun Taib, Kubang Lembek di sini, pada 14 Jun.

Menurut Ustaz Husain, legasi pendidikan tesebut tidak terkubur dengan jatuh dan bangunnya parti dalam pilihan raya.

“Institusi ini tetap akan berjalan walaupun kita tidak menjadi kerajaan, itulah bukti betapa jauhnya pandangan pimpinan(PAS) Negeri Terengganu yang ada sekarang,” jelasnya.

Justeru itu, beliau berharap agar para lepasan pelajar institusi pendidikan PAS dapat bergabung tenaga dan fikiran bagi memperkukuhkan antara satu sama lain.

“Adakan ijtimak atau himpunan secara besar-besaran supaya bekas pelajar kita bukan sahaja bersemangat di alam persekolahan, malah lebih semangat lagi bila sudah berada di medan yang sebenar,” saran beliau lagi.