Insiden T-Team; PBSNT Perlu Tampil Beri Penjelasan

537

KUALA TERENGGANU – Pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Tengganu perlu tampil untuk memberikan penjelasan mengapa pasukan gabungannya -T-Team tidak mahu meneruskan perlawan dengan pasukan Johor Darul Takzim.

Pada separuh masa kedua perlawanan Piala FA pada Sabtu 1 Februari, yang berlangsung di Stadium Larkin, terpaksa dihentikan ekoran pasukan T-Team memboikot perlawanan dan pulang awal.

Ketua Jabatan Seni, Kebudayaan dan Sukan (Department of Art, Culture & Sport – DACS) Pemuda PAS Terengganu, Zulkarami Salleh berkata, ia bagi mengelakkan pelbagai persepsi dan tohmahan peminat bola sepak negeri Terengganu dan seluruh negara amnya.

“pelbagai ‘tuduhan’ dan ‘tohmahan’ yang dilontarkan, selepas T-Team tidak muncul pada separuh kedua melawan JDT kelmarin, (sehingga) ada yang mengatakan ia disebabkan oleh tindakan Tengku Mahkota Johor menyepak pemain T-Team,

“tetapi laman sosial peminat JDT menafikannya, ini menimbulkan persoalan, kita minta pihak bola sepak negeri Terengganu tampil untuk memberi penjelasan,”ujarnya ketika diminta memberi komen terhadap insiden tersebut.

Dalam perkembangan yang sama, pihak T-Team terus berdiam diri dan tidak mahu memberi sebarang komen.

GoncalvesKetiga-tiga yang terbabit dalam perlawanan tersebut, pemain impot Evaldo Rodrigues, Fabio Flor dan jurulatih kecergasan Stefano Impagliazzo dilaporkan NST memasuki ibu pejabat polis Kuala Terengganu pada jam 1.14 petang Ahad dan meninggalkan kira-kira 16 minit kemudian [Gambar kiri].

Ketua Pegawai Eksekutif T-Team Syahrizan Mohd Zain yang mengiringi ketiga-tiga mereka hanya berkata “No comment, No comment” ketika ditemui, dan meninggalkan balai polis dengan tergesa-gesa.

Sehubungan itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Terengganu, Wan Faizul Abas berkata, pasukan T-Team adalah asalnya Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu yang dijadikan pasukan negeri.

Beliau berkata, oleh kerana perbelanjaan mengongkosi pasukan T-Team adalah dari wang rakyat melalui kerajaan negeri Terengganu, wajarlah pihak Presiden Persatuan Bola Terengganu tampil memberi penjelasan.

“Wan Ahmad Nizam perlu perlu tampil, perlu bertanggungjawab……….beri penjelasan mengapa T-Team beredar begitu sahaja, T-Team bukan kelab biasa, jutaan ringgit wang rakyat digunakan untuk membiayai T-Team,

“bagi saya……..apa pun keadaannya, T-Team tak boleh tinggalkan padang begitu sahaja,”ujarnya.

Wan Ahmad Nizam dalam kenyataannya kepada pihak media yang disiarkan malam ini telah menggesa pihak FAM mesti melancarkan siasatan menyeluruh dalam kejadian itu.

Menurutnya, T-Team mendakwa pemain mereka Evaldo Goncalves dan jurulatih kecergasan Stefano Impagliazzo, kedua-dua berasal dari Brazil, telah diserang oleh “kakitangan peringkat tinggi” daripada pihak pengurusan Johor FA dalam terowong stadium pada separuh masa, ketika JDT mendahului 2 – 1.