Ingat Allah Sentiasa Ada

219

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN- Muslimat PAS Bukit Besi diingatkan agar merasakan Allah sentiasa ada bersama agar hilangnya perasaan keluh kesah dan dilingkari perasaan sedih.

Ketua Muslimat PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Zakiah Alias juga mengesa agar mereka tidak sesekali mudah berputus asa dan tiada bermaya di dalam perjuangan.

“Kekadang kita muslimat (PAS) mudah sangat rasa kecewa, terasa hati malah tidak merasa cukup dengan apa yang ada sehingga terlupa mesyukuri nikmat Allah SWT,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ditemui pihak media, selepas Program Bicara Wanita ‘ Road To Jannah’, bersama pendakwah bebas, Ustazah Norzila Mohammad, di Karnival Bukit Besi Sejahtera, di Padang Astaka Jerangau Sungai, pada Sabtu 2 November.

Ketua Muslimat DUN Bukit Besi, Zakiah Alias

Jelas Zakiah menyentuh program pada hari berkenaan diadakan khas sebagai usaha membudayakan ilmu di kalangan wanita DUN Bukit Besi.

“Jangan sesekali merasa lemah semangat, dalam mencari ilmu agama ini kena terus mencari dan menggali ilmu Allah.

“Supaya kita sentiasa mendengar perkara-perkara yang baik untuk kita lakukan amalan soleh yang boleh membawa kita ke syurga Allah SWT,” jelasnya.

Jelasnya apa yang penting adalah mendampingi Al-Qur’an, kerana ianya merupakan ubat mujarab sebagai penawar merawat segala perkara berkait dengan hati.

“Lebih-lebih lagilah kepada muslimat yang bergiat dengan perjuangan PAS supaya sentiasa bersemangat untuk terus menjadi pengerak dan pendokong.

“Agar terus istiqamah dan tidak sesekali berpaling dari perjuangan Islam,” jelas beliau.