Influenza Novel Coronavirus Wuhan (2019 n-COV)

456

Jangkitan influenza Wuhan merupakan penyakit salur pernafasan yang disebabkan oleh sejenis virus baru yang dikenali sebagai Coronavirus (2019-n-COV) yang kali pertama dikenalpasti di Wilayah Wuhan Cina.

Kes pertama jangkitan ini telah dilaporkan pada 30 hb Disember 2019 dan sehingga kini seramai 1316 orang telah disahkan dijangkiti penyakit ini dan menyebabkan 41 kematian. Sebahagian besar jangkitan ini berlaku di wilayah Wuhan Cina namun telah merebak ke 29 daripada 31 wilayah Cina yang lain. Di luar negara Cina pula, sehingga hari ini ia telah mula menular ke 14 buah negara termasuk Perancis, Malaysia, Singapura, Hong Kong, Japan, Macau, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Vietnam, Australia, Nepal, Taiwan, Brazil dan Mexico.

Jangkitan ini dipercayai bersumber daripada pasar basah Huanan yang merupakan pasar basah terbesar yang mengandungi lebih 1000 kedai dan terkenal menjual makanan laut dan daging binatang liar dan eksotik seperti kelawar, musang, ular, buaya, keldai dan lain-lain lagi. Virus Coronavirus ini umumnya bersifat zoonosis (menjadikan haiwan sebagai habitat hidupnya).

Walau bagaimanapun terdapat kes dimana virus ini boleh berjangkit kepada manusia seperti dalam penyakit Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan Sindrom Penyakit Respiratori Timur Tengah (MERS) di mana kedua dua jenis Coronavirus itu menular daripada haiwan kepada manusia.

Bagi kes jangkitan Selesema Wuhan, pesakit yang pertama yang dikesan mengidap penyakit ini mempunyai kontak dan pendedahan secara berterusan dengan pasar tersebut dan sebahagian besar daripada kelompok awal pesakit ini juga di dapati mempunyai kontak dan pendedahan dengan pasar ini.

Namun senario terbaru yang dilaporkan di Journal perubatan Lancet mengesahkan penyakit ini mula merebak kepada mereka yang tidak mempunyai kontak dengan pasar tersebut tetapi mempunyai hubungan dengan mereka yang mengidap penyakit ini. Ia mengesahakan bahawa virus ini sudah berupaya merebak melalui manusia kepada manusia.

Coronavirus 2019-nCOV

Terdapat 4 jenis kumpulan Coronavirus iaitu beta, alfa, gamma dan delta. Coronavirus 2019-nCOV adalah dari kumpulan beta coronavirus sama seperti SARs-COV dan MERS-COV.

Habitat biasanya adalah haiwan mamalia seperti lembu, babi, kelawar, burung dan tidak berjangkit kepada manusia. Namun dalam kes 2019-nCOV dipercayai ia telah berjangkit kepada manusia dan juga menyebabkan jangkitan daripada manusia kepada manusia lain (human transmission).

Secara umumnya jangkitan coronavirus tidak memberikan kesan yang serius dan boleh sembuh tanpa memerlukan rawatan yang spesifik. Namun malangnya jika ia bertukar menjadi jangkitan yang serius sehingga kini tidak ada ubat anti-viral yang efektif untuk menggubatinya. Pesakit hanya akan diberikan rawatan sokongan sahaja.

Gejala

Gejala awal mereka yang dijangkiti penyakit ini adalah demam tinggi, selsema, batuk, sakit badan, batuk berdarah, sakit kepala dan cirit birit dan biasanya berlaku selepas 3-6 hari terdedah dengan virus ini. Selepas 7-8 hari mengalami gejala ini biasanya pesakit akan mula mengalami sesak nafas dan hampir 100 peratus pesakit yang mengalami sesak nafas tersebut di dapati mempunyai jangkitan paru-paru. Mekanisme bagaimana ia menyebabkan penyakit di dalam paru-paru dan organ-organ lain juga juga masih belum dapat dipastikan dengan tepat.

Di antara komplikasi yang mungkin terjadi termasuk kegagalan paru-paru, jangkitan bakteria sekunder, dan kecederaan kepada jantung. Dalam laporan awal di Wuhan, hampir 30 pesakit yang dimasukkan ke hospital memerlukan rawatan rapi dan 15 peratus pula meninggal dunia.

Secara keseluruhan kadar kematian pesakit adalah 3.1 peratus berbanding dengan jangkitan SARS dan MERS-COV masing-masing menyebabkan kematian 10 dan 35 peratus. Namun di sebabkan wabak ini masih baru, pakar perubatan tidak pasti sejauh mana penyakit ini akan menyebabkan kematian namun laporan yang di dapati daripada pihak berkuasa Cina menunjukkan kesannya sangat parah serta berpotensi menjadi pandemic yang boleh meragut banyak nyawa jika tiada langkah yang efektif untuk membendungnya.

Cara Pengesanan

Sehingga kini ujian yang digunakan untuk mengesahkan jangkitan ini ialah melalui kehadiran virus 2019 n-COV di dalam specimen yang di ambil daripada salur pernafasan pesakit dengan menggunakan Teknik RT-PCR. Ujian yang sama akan diulang semula sebelum pesakit dibenarkan pulang bagi memastikan virus tersebut sudah tiada di dalam tubuh pesakit

Rawatan

Sehingga kini tidak ada rawatan yang sepsifik yang berkesan untuk merawat pesakit ini. Pakar-pakar perubatan hanya menggunakan antibiotik dan anti viral seperti Oseltamivir secara empirikal di dalam proses rawatan tersebut. Rawatan yang diberikan hanyalah bersifat sokongan seperti memberikan oksigen bagi pesakit yang mengalami kekurang oksigen dan memberikan bantuan mesin pernafasan bagi mereka yang mengalami kegagalan sistem pernafasan.

Pencegahan

Sehingga kini belum terdapat vaksin yang boleh digunakan untuk mencegah penyakit ini. Langkah terbaik ialah dengan mengelakkan diri daripada pergi ke tempat yang sedang dilanda wabak ini, tidak berhubung dengan mereka yang sedang mengidap penyakit ini atau mempunyai gejala penyakit ini. Elakkan memakan daging haiwan yang tidak di masak dengan sempurna. Selain daripada itu peningkatan kebersihan diri iaitu dengan kerap membasuh tangan setelah memegang peralatan yang digunakan oleh orang ramai seperti troli di pasaraya, peralatan di taman permainan dan sebagainya. Amalan memakai topeng muka yang bersesuaian dan menutup hidung kita bersin atau batuk juga boleh membantu mengurangkan penularan penyakit ini.

Dr Harmy bin Mohamed Yusoff
Pakar Perubatan Keluarga
Universiti Sultan Zainal Abidin
Timbalan Presiden PAPISMA

Rujukan

1. Clinical features of patients infected with 2019 novel coronavirus in Wuhan, China
Chaolin Huang, Yeming Wang, Xingwang Li, et al, www.thelancet.com January 24, 2020 https://doi.org/10.1016/S0140-6736(20)30183-5

2. A familial cluster of pneumonia associated with the 2019 novel coronavirus indicating person-to-person transmission: a study of a family cluster Jasper Fuk-Woo Chan, Shuofeng Yuan, Kin-Hang Kok, Kelvin Kai-Wang To, et al, www.thelancet.com January 24, 2020 https://doi.org/10.1016/S0140-6736(20)30154-9

3. Data sharing and outbreaks: best practice exemplified David L Heymann www.thelancet.com January 24, 2020 https://doi.org/10.1016/S0140-6736(20)30184-7
4. A novel coronavirus outbreak of global health concern Chen Wang, Peter W Horby, Frederick G Hayden, George F Gao, www.thelancet.com January 24, 2020 https://doi.org/10.1016/S0140-6736(20)30185-9