Ijtima’ Tarbawi Menjana Kekuatan Parti

426

http://buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2010/09/nikabduh.jpgDewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) akan menganjur program Ijtima’ Tarbawi Pemuda Peringkat Kebangsaan 2010 bertujuan untuk menggerakkan pemuda agar memahami tanggungjawab membina kekuatan parti melalui tarbiyyah dan sistem yang jitu.

“Program Ijtima’ Tarbawi ini bermula dari 1 hingga 3 Oktober bertempat di Kampung Rusila, Marang, Terengganu,” kata Pengerusi Akademi Tarbiyah DPPP Nik Abduh Nik Abdul Aziz dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, program tarbawi perdana yang julung kali diadakan sejak sekian lama ini dijangka akan dapat menghimpunkan ribuan jentera pemuda PAS dan pendukung gerakan Islam dari seluruh negara.

“Program ini juga di adakan bersempena dengan pindaan perlembagaan PAS terbaru yang telah memberi ruang dan melibatkan jentera pemuda di peringkat kawasan ke dalam program kemuncak parti iaitu muktamar tahunan.

“Program ijtima’ akan membantu jentera kawasan di seluruh negara untuk memahami dan menilai peranan dan tanggungjawab masing–masing,” tambah beliau.

Beliau berkata, “DPPP mensasarkan kehadiran sekurang–kurangnya 20 orang jentera pemuda setiap kawasan selain jenteranya di peringkat pusat dan negeri.

“Jangkaan kehadiran lebih 3,000 orang jentera pemuda ini pula akan dihangatkan lagi dengan jemputan umum, terutamanya kepada seluruh pemuda PAS seluruh negara yang berminat untuk menyertainya,” terang beliau.

Katanya, jemputan khas juga disasarkan kepada seluruh pelajar daripada universiti dalam dan luar negara. Tidak ketinggalan, kehadiran peserta daripada Dewan Muslimat, terutama daripada unit NISA’nya dijangka akan memperkasakan lagi program besar ini.

“Justeru adalah dijangkakan, program yang akan melibatkan penyertaan hampir keseluruhan kepimpinan utama PAS ini mampu menghimpunkan lebih 5,000 orang peserta dari seluruh negara,” tambahnya.

Menurut Nik Abduh, sehingga kini, hampir 20 orang pimpinan PAS telah menyatakan kesanggupan untuk bersama pemuda dalam program ijtima’ tersebut.

Amanat dan wasiat tarbawiyah

Di antara kehadiran utama yang akan menyampaikan amanat dan wasiat tarbawiyah tersebut adalah Al Mursyidul Am PAS, Presiden PAS, Timbalan dan Naib–Naib Presiden PAS, Ketua Dewan Ulama, Ketua Pemuda dan Ketua Dewan Muslimat PAS selain kepimpinan tarbiyah utama PAS seperti Dato’ Dr. Haron Din dan Ustaz Dato’ Haji Yahya Othman.

Ujar beliau, “lebih memeriahkan, ijtima tarbawi ini dijangka menerima kunjungan tetamu daripada gerakan Islam daripada Timur Tengah.”

Di antara agenda menarik yang telah disusun untuk memeriahkan dan mengoptimumkan hasil tarbawi melalui program ijtima’ ini adalah siri kuliah talaqqi kitab Tafsir al Tibyan syarah surah al Hujuraat oleh pengarangnya sendiri iaitu Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang.

Kitab tersebut yang kini dalam proses ulang cetak sempena program ijtima tersebut telah diberi kata pengantar oleh Tuan Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Mat.

Selain itu, program forum, pembentangan, ceramah tarbawi perdana, solat dan bacaan al ma’thurat berjamaah dan lain–lain lagi dijangka akan memeriahkan lagi isi perhimpunan ala mukhayyam perdana tersebut.

Pengarah program ijtima’, Ustaz Azman Shapawi dan Akademi Tarbiyah DPPP yang diberi tugas utama menjayakan program ini ingin merakamkan harapan kepada seluruh jentera pemuda di seluruh negara untuk memastikan kejayaan program ini dengan kehadiran penuh dan komitmen yang tinggi terhadapnya.

Semoga Allah memberkati. -FMT