ICERD: Rasulullah Beri Hak Yang Adil Kepada Semua, Tetapi…..

670

DUNGUN – Pernah dicatat dalam sejarah, Rasulullah SAW mengadakan perjanjian, memberikan hak secara adil kepada kaum Yahudi dan hidup damai bersama walaupun yahudi jelas bermusuhan dengan Islam.

Piagam itu ditepati sehinggalah Yahudi mengkhianati janji-janji mereka, apabila mereka berpakat dengan musuh untuk menewaskan Islam, maka mereka dihalau keluar dari Madinah.

Maka begitulah sepatutnya, orang Islam jika mendapat kuasa memerintah, menghormati hak-hak semua rakyat yang ada di dalam negara mereka, selagi semua rakyat mematuhi perjanjian, sesuai dengan kehendak Islam.

Allah memberi neraca supaya manusia hidup dalam keadaan adil yang mana adil itu ialah meletakkan sesuatu itu pada tempatnya.

Demikian penjelasan Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika menyampaikan ceramah Perdana Tolak Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Dewan Terbuka Arena, di sini, semalam.

Ceramah itu turut dihadiri oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun yang juga Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Wan Mohd Ramli, Adun Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan Adun Rantau Abang, Alias Harun.

“Semua agama tidak sama, kerana Allah berfirman siapa yang mencari selain dari Islam, Allah tidak akan terima, dia rugi di akhirat,” kata beliau.

Namun kata Ustaz Mohd Nor lagi, ICERD seperti cuba menyamakan kedudukan agama-agama lain dengan Islam.

Menurut beliau, sejarah pemisahan Singapura juga boleh menjadi contoh pengambilan tanah Melayu secara perlahan-lahan di mana Lee Kuan Yew pernah berjaya dengan perancangannya.

Kini dakwa beliau, DAP dilihat cuba mengikut jejaknya (Lee Kuan Yew).

Ujarnya lagi, kontrak sosial telah menetapkan hak istimewa orang Melayu mendapat kelebihan tersendiri tanpa meminggirkan kaum-kaum lain.

“Kadang-kadang kita orang Islam dilihat terlalu berlembut dengan orang luar sehingga terpaksa menggadaikan prinsip mereka,” tegur beliau.

Pesan beliau lagi, orang yang berhujah seperti dalam al-Quran menyebut bahawa manusia adalah sama, tetapi Allah memisahkan di antara manusia bahawa yang paling mulia ialah yang paling bertakwa.