ICERD; Menteri Tidak Boleh Sewenang-Wenangnya Meletakkan Pendapat Peribadi Sebagai Pendirian Rasmi Kerajaan

487

Polemik isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) bermula apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy menyatakan bahawa kerajaan komited meratifikasi ICERD yang selaras dengan manifesto Pakatan Harapan. Kenyataan ini disambut oleh Datuk Seri Dr Mujahid yang mengatakan bahawa hujah golongan yang menentang ICERD hanyalah adu domba dan fitnah. Terkini, Datuk Saifuddin Abdullah pula menyifatkan bahawa golongan yang menentang ICERD sebagai tidak faham perlembagaan.

2. Persamaan ketiga-tiga kenyataan ini adalah apabila semua menteri sudahpun membuat kesimpulan awal bahawa ICERD ini baik, perlu diratifikasi dan sebenarnya telah disalah fahami. Persoalannya, apakah asas kepada komen-komen menteri ini? Adakah ianya hanya berdasarkan perspektif peribadi mereka bahawa perjuangan yang dibawa oleh hak asasi manusia daripada Barat semuanya baik tanpa mempertimbangkan pandangan Islam dan kesesuaiannya dengan konteks di Malaysia?

3. Hal ini kerana mereka dengan cepat menyatakan komitmen sebelum membuat kerja-kerja lapangan seperti survey terhadap pandangan rakyat, konsultansi bersama pemegang taruh dan mengeluarkan laporan-laporan rasmi berkenaan keputusan besar yang mahu dilakukan. Sekalipun kerajaan berjanji untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak menerusi meja rundingan, ianya adalah suatu janji yang tidak kena kerana alasannya hanyalah semata-mata untuk menghilangkan kerisauan yang dibangkitkan, bukannya untuk membuat pertimbangan yang rasional dan objektif.

4. Walhal, pada masa yang sama, pandangan pakar perlembagaan dan pengamal undang-undang termasuklah bekas hakim, para peguam dan ahli akademik semuanya cenderung mengatakan ratifikasi ini hanya membawa kerugian kepada orang Melayu. Suara mereka inilah perlu dirujuk dan dimasukkan ke dalam pertimbangan sebelum kerajaan membuat keputusan untuk memberi komitmen. Saya menegaskan bahawa kerajaan tidak wajar merasa lebih tahu sebelum kajian dan kerja-kerja lapangan ini dilakukan.

5. Apa yang lebih menyedihkan adalah apabila ramai yang mengkritik penentangan sokongan terhadap ratifikasi ini sendiri adalah orang Melayu. Orang bukan Melayu tidak pula mendesak ratifikasi ini dilakukan dan ini suatu perkara yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan. Kerajaan tidak perlu memperjuangkan agenda peribadi dan lebih sudu daripada kuah membuat asumsi bahawa ianya perlu diratifikasi kerana wujudnya penindasan terhadap kaum di Malaysia.

6. Oleh yang demikian, saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk hadir ke Himpunan ICERD pada 4 November 2018 (Ahad) di Padang Merbok untuk menyatakan bantahan kepada kerajaan supaya tidak mengambil ringan suatu ratifikasi yang akan memberi kesan yang besar terhadap hak Melayu yang dilindungi oleh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan perlu sedar bahawa posisi dan kuasa sebagai menteri bukanlah lesen untuk melaksanakan pendapat dan kecenderungan peribadi tanpa merujuk apakah kehendak sebenar rakyat majoriti di negara ini.
“Terus Mara”
“Islam Memimpin”

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)
ADUN Batu Buruk, Terengganu