ICERD; Menentang Agenda Penjajahan Baharu

240

Islam merupakan kunci utama keamanan, keharmonian dan kemakmuran yang melatari tanah air Malaysia selama ini. Kerana ia meluhur kukuh sebagai tonggak penting di dalam Perlembagaan Negara. Menaungi “Rahmatan lil ‘alamin” ke atas seluruh rakyat biarpun berbeza adat, budaya, bahasa, kaum dan agama.

2. Dengan Islam, Allah S.W.T kalimatkan jaminan-Nya terhadap sikap melampau manusia dari melakukan pencerobohan, pengusiran, penganiayaan dan peperangan. Namun, Allah mengingatkan dalam ayat 40 surah al-Hajj, jika tidak ada yang berjuang menegakkan Islam menentang kejahatan itu, banyak pihak akan binasa.

3. Nescaya kata Allah, akan runtuhlah banyak tempat pertapaan serta gereja (kaum Nasrani), dan tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya. Mengertikan kehancuran menyeluruh dan tanpa batas kepada sesiapa sahaja sekiranya sikap melampau dibiarkan.

4. Jika sekiranya agama yang menjadi roh kekuatan umat manusia boleh dimusuhi, tentunya insan lebih lemah seperti kaum wanita, kanak-kanak, warga emas dan miskin lebih mudah ditindas. Ketika itu, perjanjian atau konvensyen hak asasi ciptaan manusia bukan lagi jaminan dan tidak lebih dari umpama sarang labah-labah.

5. Apatah lagi setelah tembelang kepada usaha meratifikasi ICERD akhirnya pecah membongkar agenda tersembunyi pihak tertentu, menyerlah dendam beralaskan agama dan kaum. Inilah mentaliti keganasan yang mesti segera dicegah. Ia hanya memanipulasi segala deklarasi dan kedudukan untuk mencapai tujuan sulit mereka.

6. Kesamarataan diuar-uarkan hanyalah ungkapan manis yang sebenarnya adalah racun pembunuh. Paling utama, ianya langsung tidak relevan dan menjejak di bumi Malaysia yang lebih dahulu menjadi contoh kepada dunia dalam menangani kepelbagaian di negara ini. Ia sebaliknya perlu terus diperkukuh dan dipertahankan.

7. Kami menyeru kebangkitan kesedaran semua sama ada Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak, termasuk kaum wanita untuk bersama dalam saf perjuangan membantah ratifikasi ICERD. Demi segala yang telah dikecapi dan masa depan dinanti, kita akan pastikan Malaysia tidak akan kembali dijajah.

“Islam Memimpin”
“Muslimat Istiqamah Memacu Kemenangan”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Muslimat
Dewan Muslimat PAS Malaysia