Ibrah Dari Kenyir

274

Pertama kali saya ke Kenyir ialah pada tahun 1985, iaitu menyertai rombongan sekolah rendah, yang mana ketika itu, Kenyir baharu dibuka untuk pelawat-pelawat luar. Tidaklah memancing, hanya sekadar melihat-lihat sekitar sahaja. Kali kedua ialah memancing bersama rakan-rakan sekerja di Petronas pada 1 Mac 1997. Bagaimana saya boleh mengingati dengan tepat tarikh itu? Ia kerana pada 3 Mac, sewaktu kami keluar Kenyir, dapat berita allahyarham Tan Sri Yahaya Ahmad kemalangan helikopter bersama isteri beliau, sehari sebelum itu.

Kemudiannya beberapa kali lagi, samada kerana memancing, ataupun rehlah dengan jemaah. Kali terakhir ialah pada dua bulan lepas. Dalam banyak kali saya ke sana, saya sangat perasan yang hasil tangkapan sangat berkurangan. Apabila diajukan kepada rakan-rakan yang sangat biasa ke Kenyir selepas itu, jawapan mereka adalah sama. Memang ikan semakin kurang di Kenyir. Ianya mungkin kerana ikan pemangsa yang dilepaskan orang, atau mungkin juga kurang kawalan bagi saiz tangkapan atau faktor alam sekitar yang sedang membahang sekarang. Yang pelik, ikan patin, bukan ikan asal pula yang banyak. Mungkin sebab ada sangkar pecah.

Saya ketika rehlah baru-baru ini, ada bersama ialah seorang orang lama yang berasal dari Kenyir. Mamat bin Dali, berusia 64 tahun, seorang yang sangat mahir dengan selok belok di Kenyir. Beliau berasal dari Sungai Chomor, satu kampung yang berada sebahagiannya di dalam Tasik Kenyir, sebelum Empangan Tasik Kenyir dibina. Kata beliau, dasar empangan Kenyir itu, adalah tempat beliau berkerja sehingga akhir 70-an dahulu, iaitu antaranya mencari kayu gaharu, sehingga ke sempadan Kelantan atau Pahang. Beliau juga turut berkerja membina empangan.

Ketika sedang Empangan Kenyir hebat dibina dan pasca pembinaannya, iaitu ketika pembalakan bawah air sedang aktif dilakukan, majoriti yang berkerja ialah pembalak-pembalak dari Thailand. Ketika ini, warga Siam ini sangat aktif berburu. Bahkan kata beliau, suara burung Kuang, hampir tidak kedengaran lagi, sehinggalah selepas habis aktiviti pembalakan bawah air itu, baharulah ada semula dijumpai spesis yang beliau rasa dahulu, sudah pupus. Banyak lagi binatang-binatang lain yang pembalak-pembalak ini jadikan lauk makanan mereka. Sambil membalak, sambil berburu.

Tetapi yang paling menarik daripada cerita yang dikisahkan oleh Pak Mat, saya tertarik dengan cerita beliau berkenaan dasar Tasik Kenyir, suatu ketika dahulu. Sebelum ditakung air untuk empangan, kawasan Kenyir sebenarnya merupakan gabungan beberapa perkampungan lama di sekitar daerah Kuala Berang. Tidak sedikit kampung-kampung yang ada, termasuklah juga perkampungan orang asli. Ini terbukti kerana Gunung Bewah dahulu juga ditemui tinggalan tamadun manusia. Ia juga salah satu sebab nama Terengganu diperolehi. Beliau sempat melihat beberapa buah kampung itu, ketika zaman muda beliau dahulu.

Salah satunya bernama Kampung Ceregor. Di tapak kampung ini, beliau pernah datang dan melihat dengan matanya, sebatang tiang seri yang besar yang diperbuat daripada kayu merbau. Hanya tiang itulah sebatang yang tinggal daripada keseluruhan perkampungan Ceregor itu. Dikisahkan orang tua-tua kepada beliau, tiang itu adalah satu-satunya yang masih ada dari puing-puing kampung ini. Kampung Ceregor, musnah dilanda badai pada suatu hari dengan takdir Allah. Tragedi itu dikatakan membunuh ramai penduduk kampung tersebut.

Mamat bin Dali
Menurut cerita mulut ke mulut ini, penduduk kampung, pada hari kejadian, sedang berpesta bagi satu keramaian. Pesta itu bukan biasa-biasa, banyak kerbau-kerbau dikorbankan bagi menjamu manusia yang datang bertandang. Kepala-kepala kerbau yang disembelih juga dikatakan diatur dengan banyak. Hampir semua penduduk kampung hadir bagi meraikannya. Dan menyedihkan, pesta itu bukan sahaja menyediakan makanan zahir, malah makanan batin juga ada bagi mereka yang gersang. Ianya lari dari aturan yang Allah tetapkan.

Wanita-wanita, malah isteri-isteri orang, dijadikan hidangan bagi jantan-jantan yang mahu mencuba. Mereka bebas, hanya perlu mencari ‘port’ bagi aktiviti itu, tanpa diganggu. Suami mereka juga boleh melakukan pertukaran sistem ‘barter’ bagi menikmati pasangan lain. Begitulah diceritakan hal keadaan penduduk kampung yang ketika itu seperti gila dan mabuk dengan makanan zahir dan batin. Mereka berpesta, sehingga lupa diri dan lupa tuhan. Pesta itu berlangsung beberapa hari dan malam.

Maka Allah yang maha berkuasa itu, menurunkan tenteraNya bagi memusnahkan seluruh kampung itu. Ribut yang kuat melanda Kampung Ceregor dan memusnahkan keseluruhan perkampungan itu. Mengikut cerita Pak Mat lagi, ramai yang terkorban, banyak rumah yang musnah, harta benda disapu ribut, binatang ternak mati, kebun dan ladang menjadi rata dan seluruh kampung menjadi padang jarak padang tekukur. Satu-satunya tinggalan ialah tiang seri sebuah daripada rumah-rumah di situ.

Kosah ini mungkin benar, mungkin juga tidak. Tetapi ia hampir sama terjadi kepada penduduk di Keningau Sabah pada tahun 1996 yang dibadai ribut Greg. Sebutlah apapun, fenomena luarbiasa, bukan laluan ribut, ia tetap akan berlaku apabila Allah berkehendak ia berlaku. Kita maklum apa cerita yang berlaku disebalik ribut itu. Bahkan, dalam al-Quran diceritakan bahawa semua bala dan kerosakan yang tertimpa keatas manusia, adalah hasil dari kerja tangan manusia itu sendiri. Dosa dan noda berlaku tanpa rasa malu kepada Allah.

Timbul juga persoalan daripada golongan yang masih tidak mahu mengakui kehebatan Allah dengan bertanya jika benar bala, kenapa ada juga terkena kepada orang yang beriman. Begitu tegar dan keras kepala mereka, tidak mahu bersetuju dengan kenyataan bahawa bala ditimpakan keatas mereka. Matinya manusia tidak ditentukan caranya. Yang penting, apa amalan mereka ketika hidup. Jika ikhlas dan diterima Allah, maka, matilah dia dengan bagaimana cara sekalipun, tetapi akan dibangkitkan dengan kemuliaan. Itulah jawapan yang memeningkan mereka.

Malaysia bukan sebuah negara yang sentiasa ditimpa musibah yang besar. Allah masih meletakkan negara kita dalam radius yang selamat dari bencana-bencana yang memusnahkan. Tetapi Allah, kadang-kadang memberikan peringatan keras atas dasar kasihNya kepada kita. Betapa kita seharusnya mensyukuri kurniaan Allah ini. Namun, apa balasan kita dengan nikmat ini? Berapa ramai yang bersyukur dengan mengerjakan suruhan dan jauhkan diri dari laranganNya? Bahkan, kita semakin jauh. Dan antara tandanya ialah, kita mempunyai pemimpin yang tidak berada di jalan Allah. Lalu kita juga dijauhkan dari jalan agama oleh mereka. Menjadilah kita dari golongan yang lalai.

Di bawah Tasik Kenyir, ada selingkar kisah tentang kederhakaan manusia kepada Allah. Namun, di atas Tasik Kenyir, manusia tetap melupakan jalan-jalan yang pernah dilalui oleh golongan derhaka ini walaupun nampak tinggalannya. Kaum Luth, Kaum A’ad, Kaum Madyan, Firaun, semuanya adalah sejarah yang hidup. Allah menghidupkan hati yang mati dengan kisah ini.Marilah kita kembali kepada Allah dengan sebenar-benar kembali kerana apabila Allah murka, tiada yang dapat menghalangNya. Arah manakah jalan hidup kita? Ke kanankah, atau ke kirikah?

Mohd Nasir Abdullah
Bukit Payong, Marang
2 September 2019