Ibadah Haji Adalah Mesej Jelas ‘Anti Rasis’

254

Oleh : Aziz Hambali

MARANG – Ibadat haji adalah himpunan tahunan terbesar umat Islam pelbagai bangsa dan keturunan, membawa mesej perpaduan dan keharmonian serta jelas ‘anti-rasis’.

Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awan berkata, sewaktu melaksanakan ibadat rukun Islam kelima itu, umat Islam akan bertemu dengan pelbagai bangsa dan bahasa, manusia dari seluruh dunia.

Malah katanya, sambutan Hari Raya Aidil Adha juga menuntut umat Islam menyembelih binatang ternakan, sebagai simbolik mesej pengorbanan.

Menurutnya, daging korban diagihkan kepada mereka yang memerlukan, sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

“Ikut sunnah, ikut apa yang nabi ajar. Daging yang disembelih hendaklah dibahagi sama rata. Tiada istilah upah orang itu. Upah orang ini. Ini adalah kerja-kerja kebajikan.

“Sesetengah itu, nak rasa juga. Terpaksa buat kecil-kecil kerana masing-masing nak rasai daging korban belaka (semua),” kata beliau.

Beliau berkata demikian sebaik selesai melakukan ibadah korban di teratak anakandanya, Yusuf Abdul Hadi berdekatan Pantai Rusila, di sini, hari ini.

Beliau berkata, daging korban tersebut dibahagi tiga kampung serangkai iaitu Kampung Rusila, Kampung Rhu Renggeh dan Rhu Dua, sebagaimana amalan yang dilakukan pada setiap tahun.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar hari raya kali ini kita lebih berusaha menguatkan keimanan dan menambah amal soleh sekaligus tetap memelihara tanggungjawab terhadap umat Islam dan masyarakat seluruhnya.

Katanya, hanya dengan Islam sahaja kita akan berjaya di dunia dan akhirat.

“Allah Taala telah menjelaskan ibadat korban itu adalah cerminan kepada taqwa seseorang hamba kepada-Nya. Pengorbanan diikuti dengan ketaqwaan.

“Bertitik tolak daripada kedua-dua ibadat haji dan korban, kita memahami bahawa tema perpaduan dan pengorbanan terangkum dalam menjadi hamba Allah yang bertaqwa,” tegasnya.