i-SHARP, projek belum berjalan, penduduk mula terima tempias

297

http://buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2010/07/i-bantah.gifAktiviti pembersihan hutan paya gelam dan pembinaan prasarana ternakan udang i-SHARP oleh pemaju Blue Archipelago Berhad di Kampung Nyatoh, Permaisuri, Setiu mula ‘menempiaskan hasil’ kepada penduduk di sekitar Kampung Rhu Sepuluh dan kawasan berdekatan apabila populasi kera yang sebelum ini menjadikan kawasan hutan ini sebagai habitat semulajadi mereka mula menunjukkan ‘protes’ di atas kerakusan tangan-tangan manusia mengorbankan kedamaian alam sekitar yang dihuni mereka sekian lama demi keuntungan projek i-SHARP yang dikatakan akan mencecah ratusan juta ringgit setahun.

Kehilangan habitat asal ditambah lagi dengan kerancakan kerja-kerja pembinaan memaksa populasi kera ini berkeliaran menjadikan kawasan kampung sekitar terutamanya di Kampung Rhu Sepuluh yang mula dilanda fenomena baru yang menganggu keselesaan dan ketenteraman serta rasa bimbang para ibu-bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka.

i-BANTAH semalam dimaklumkan penduduk tempatan, projek belum lagi berjalan, udang belum lagi diternak malah meninjau secara umum kerja-kerja pembinaannya, kelihatan masih jauh lagi untuk disiapkan tetapi kumpulan kera ‘berkunjung’ menjadi tetamu baru yang tidak kami undang bukan setakat mula menganggu kehidupan seharian penduduk malah kami yang sedang sembahyang berjamaah di surau pun turut sama dikunjungi kera-kera yang melompat masuk ke surau.

Ternyata kebimbangan yang berulang kali disuarakan i-BANTAH berkaitan impak alam sekitar dan ekosistem terhadap perlaksanaan projek i-SHARP ini mula menampakkan kenyataannya.

Antara kebimbangan berfakta yang berulang kali disuarakan i-BANTAH, tetapi terus dipandang sepi pihak berwajib:

Kemusnahan Habitat Bagi Hidupan Liar

Hutan Gelam Air Tawar adalah habitat bagi spesis kera serta hidupan liar terancam seperti Tapir (Tapirus indicus), Tenggiling (Manis javanica), Kongkang (Nyticebus coucang), Bangau China (Egretta eulophotes dan Burung Botak Kecil (Leptoptilos javanicus). Spesis hidupan liar terancam seperti tuntung juga menerima impak kerana tuntung bergantung kepada kawasan tersebut untuk bertelur. Jelas! Kera antara yang terawal menunjukkan ‘protes’! Pertarungan merebut kepentingan antara alam dan manusia tidak akan berakhir dengan situasi menang-menang. Yang kuat akan menang dan ada yang akan menjadi korban.

Kemusnahan Kawasan Pembiakan Hidupan Laut

Pengaliran sisa buangan (effluent) dari projek i-SHARP yang mengandungi kepekatan garam yang tinggi disebabkan penggunaan air laut sepenuhnya, akan mengubah ekosistem Sungai Chalok dan Sungai Setiu serta Lagun Setiu lalu menjejaskan hidupan di dalamnya. Lagun Setiu di samping merupakan kawasan pembiakan hidupan laut, juga merupakan tempat perlindungan dan asuhan bagi pelbagai hidupan laut seperti ikan, udang, ketam, siput dan kerangan yang menjadi sumber pendapatan nelayan. Tabung Perlindungan Hidupan Liar Dunia (WWF) cawangan Malaysia menyatakan kira-kira 60% anak ikan kerapu dan benih tiram untuk ternakan di Malaysia datangnya dari kawasan Setiu. Tempiasnya belum lagi dirasakan lantaran ternakan udang belum lagi bermula, tetapi ianya akan menyusul. Ketika itu siapa yang akan tampil memikul tanggungjawab terhadap kemusnahan ini?

Air Sungai Menjadi Toksik dan Tercemar

Ubat-ubatan dan baja yang digunakan dalam industri akuakultur mengandungi bahan kimia. Sebahagian daripada bahan kimia ini adalah toksik kepada hidupan laut dan menjurus kepada kemerosotan sumber laut. Selain itu ia akan menyebabkan pencemaran air bawah tanah dan permukaan. Sisa akuakultur yang mengandungi kandungan bahan nutrient, bahan kimia dan ubat-ubatan yang dialirkan ke sungai juga akan menjejaskan kualiti air sungai. Kandungan nutrient daripada najis dan makanan udang yang tidak dimakan menggalakkan pertumbuhan alga (eutrofikasi) yang akan mengurangkan kandungan oksigen di dalam sungai. Kekurangan oksigen di dalam sungai boleh membunuh hidupan di dalamnya.

Sangkar Penternakan Ikan Penduduk Tempatan Terjejas

Terdapat projek akuakultur dalam sangkar dijalankan penduduk setempat di kawasan hilir Sungai Setiu seperti penduduk Kampung Fikri. Sangkar-sangkar akuakultur milik penduduk tempatan ini akan terjejas akibat dari pengaliran air sisa buangan kolam udang seperti pencemaran bahan kimia, penyebaran penyakit serta peningkatan kadar kemasinan air sungai.

Kehilangan Tanah Pertanian

Sebanyak lebih 200 ekar tanah yang diusahakan untuk aktiviti pertanian di Kampung Banggol telah diambil untuk menjalankan projek akuakultur ini. Saguhati antara RM3,000 – RM5,000 yang dibayar untuk satu lot tanah RTB dengan keluasan 2.4 ekar tak banyak memberi makna berbanding kehilangan pergantungan petani kepada hasil pertanian yang dimusnahkan menyebabkan mereka kehilangan sumber pencarian. Walaupun dijanjikan peluang pekerjaan di kawasan projek, tetapi tinjauan Pengerusi i-BANTAH mendapati buat masa ini tenaga kerja dari Indonesia, Bangladesh dan Kemboja masih mendominasi. Janji adalah suatu janji tetapi situasi semasa itu yang dilihat. i-BANTAH tidak menyatakan pemaju berbohong, tetapi mohon diberikan penjelasan.

Banjir

Kawasan yang sedang dibangunkan adalah kawasan paya bertanah rendah yang terdedah kepada kesan pasang surut Sungai Chalok dan dilimpahi air ketika musim banjir. Dari segi ekosistem, kawasan paya bertanah rendah dikategorikan sebagai kawasan takungan air. Lantas, untuk mengelakkan kawasan projek bernilai jutaan ringgit ini ditenggelami air banjir, kerja-kerja tebus guna tanah sedang dilakukan supaya kolam udang berada di aras yang lebih tinggi dari air banjir. Keadaan ini akan menyebabkan aliran air itu beralih ke kawasan yang lebih rendah di sekitar tapak projek dan ini akan menyebabkan air membanjiri kawasan penempatan penduduk sekitar. Tunggulah musim tengkujuh akan datang dan phenomena ini cukup akan menjadi kebimbangan.

Hakisan Tanah dan Pemendapan Tanah

Kegiatan pembersihan tanah dan penambakan tanah serta pembinaan infrastruktur i-SHARP telah dan akan menyebabkan berlakunya hakisan dan pemendapan di Sungai Chalok. Hakisan tanah yang disebabkan oleh aktiviti pembukaan tanah ini meningkatkan pengaliran sedimen ke dalam sungai dan menyebabkan pemendapan di dalam sungai sekaligus mengeruhkan Sungai Chalok.
Masalah Sosial

i-SHARP digembar gemburkan akan menjanjikan sebanyak 1,500 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Peluang pekerjaan sebanyak ini adalah mustahil untuk dijawat penduduk tempatan. Sekiranya peluang-peluang pekerjaan ini tidak dipenuhi, potensi untuk mendapatkan pekerja warganegara asing adalah tinggi. Kenyataannya telah mula terserlah. Jemputlah meninjau di kawasan projek walaupun kita adalah tetamu yang tak diundang tetapi kita adalah rakyat yang berhak mengetahui apa yang sedang berlaku di sekitar kita. Lihatlah siapa yang sedang bekerja. Kebanyakkannya Indonesia, Bangladesh dan Kemboja! Ini akan menyebabkan perubahan struktur sosial tempatan dan adalah tidak mustahil akan berlakunya masalah sosial dan kejutan budaya di kawasan setempat.

Akhirnya, kenapa pentadbiran Menteri Besar Ahmad Said hanya mengembar-gemburkan kemegahan projek yang masih samar kononnya untuk menjadikan Setiu sebagai hub pengeluaran udang terkemuka tetapi membisu dengan kesan negatif yang mula dirasai penduduk.

Lantaran itu, i-BANTAH mengulangi tuntutan ini kepada pihak kerajaan negeri kerana pengurnian ribuan hektar tanah kerajaan kepada pemaju Blue Archipelago Berhad dengan status pajakan selama 30 tahun bukan suatu isu remeh :

1.    Kerajaan negeri harus memberi penerangan menyeluruh  status sebenar projek ini kepada rakyat termasuk risiko yang bakal dihadapi penduduk.

2.    Kerajaan harus mengkaji semula Laporan Kesan Terperinci Alam Sekitar (DEIA) yang dikeluarkan kerana DEIA yang telah dikeluarkan mempunyai banyak keraguan.

Dr Azman Ibrahim
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak i-BANTAH
www.drazmanibrahim.com