Hukum Karma

899

Beberapa hari lalu, heboh berkenaan penderhakaan dua orang Adun PKR di Melaka yang keluar dewan ketika Dun Melaka sedang bersidang, bagi mengusulkan nama untuk menjadi senator, mewakili Melaka. Dikatakan tindakan mereka itu sebagai protes kepada calon senator yang mana difahamkan, beliau adalah orang DS Anwar. Sementara mereka berdua adalah penyokong Azmin.
 
Adun Rembia, Muhammad Jailani Khamis, Adun Machap Jaya Datuk Ginnie Lim Siew Lin keluar dewan, sebelum pengundian dimulakan. Akhirnya, Kerajaan PH Melaka, dimalukan kerana kalah dalam pengundian itu yang menyaksikan cadangan Pengerusi PKR Melaka, Datuk Abdul Halim Bachik untuk dilantik menjadi senator, ditolak oleh Dun Melaka.
 
Lantas saya teringat kejadian yang ada persamaan dengan isu ini, iaitu peristiwa pengkhianatan dua orang Adun PAS di Selangor yang berpaling tadah daripada arahan Presiden PAS bagi tidak menyokong Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor, yang cuba digantikan dengan cara hina, iaitu menurunkan Tan Sri Khalid Ibrahim menggunakan fitnah setebal 90 muka surat, yang akhirnya PKR terpaksa memohon maaf kepada Tan Sri Khalid.
 
Cuma malang bagi kedua-dua Adun PKR Melaka ini kerana mereka tidak dijulang sebagai wira, sebagaimana DAP menjulang kedua-dua orang pembelot dari PAS itu sebagai penyelamat mereka. Namun begitu, tetaplah Wan Azizah tidak dapat menjawat jawatan MB Selangor itu atas beberapa faktor, termasuklah kegagalan DAP dan PKR menyediakan lebih dua nama calon, sebagaimana yang diarahkan oleh istana. Hanya PAS yang faham arahan istana.
 
Hasil daripada kerja jahat dua orang bekas JIM inilah yang menyebabkan Pakatan Rakyat Selangor, berpecah dengan DAP mula-mula memutuskan hubungan disamping memaksa Azmin memecat Exco-Exco dari PAS. Dan sebagaimana yang kita ketahui, sewaktu itu, PAS lah yang menyelamatkan kerajaan Selangor daripada dijatuhkan dengan mengekalkan hubungan dengan PKR.
 
Sikap Abu Urwah iaitu Saari Sungip yang bagai mahukan jawatan Exco kemudiannya ditempelak oleh Azmin dengan menyindir Saari mengemis jawatan Exco. Begitulah nasib pengkhianat, lari kepada pihak sebelah, tidak juga dipercayai. Rakan lama sendiri mereka khianati, apa jaminan rakan baru mereka akan setia. Sangat tepat tindakan almarhum Dato’ Harun Taib menolak kemasukan Saari ke dalam PAS. Bau busuk khianatnya itu dapat dihidu almarhum. Pergi dia ke Manir mencari restu almarhum. Dia gagal, dan akhirnya masuk PAS tanpa restu almarhum.
 
Ketika DS Anwar sibuk menyucuk Tun bagi mendapatkan jawatan PM itu, rupanya penyokong Azmin juga menjolok DS Anwar bagi membuka ruang kepada Azmin. Perbalahan dalaman PKR semakin ketara, dapat dilihat oleh orang yang sekalipun buta politik. Sikap melempar dan berbalas sindiran, tuduhan, jelas memberitahu dunia bahawa mereka sudah lama tidak tinggal bersama, hanya menunggu fasakh. Ditambah pula dengan sikap orang kuat mereka yang juga campur tangan dengan perbalahan ini, menerangkan lagi kekaburan itu.
 
Kita juga sedia maklum akan kesungguhan Anwar untuk menjadi PM. Maka seluruh ketumbukan tentera beliau, dikerahkan bagi menggoncang kerusi PM yang diduduki oleh Tun sekarang. Sikap gelojoh dan tidak tahu malu dengan saban hari menyanyikan lirik beliaulah PM ke 8 itu juga memualkan rakyat. Sedang dalam masa yang sama, beliau dan pasukannya semakin dibenci rakyat. Lebih-lebih lagi jika menonton kembali janji-janjinya yang menggegarkan Malaysia dahulu.
 
Kekurangan Ahli Parlimen yang hadir adalah menunjukkan protes mereka terhadap Tun. Ini lebih jelas tetap dilakukan mereka walaupun setelah ditegur oleh Tun. Dan sangat ketara terjadi selepas PRK Tanjung Piai. Sehinggakan Ahli Parlimen Kepong sendiri marahkan kerajaan PH. Siapa yang mengetuai kerajaan PH? Jadi tembakan itu jelas kepada Tun. Mereka ini adalah soldaldu-soldaldu Anwar yang mahu menarik Tun jatuh ke bawah.
 
Rakyat dihidangkan dengan cerita abu Chin Peng, kesejukan dalam Parlimen, Ahli Parlimen kepenatan, yang sebenarnya penat berperang sesama sendiri. Tetapi cerita di belakang tabir ialah cerita mereka rakus membaham sesama sendiri. Mereka telah mencapai suatu darjat kehinaan yang tinggi, tanpa rasa malu kepada rakyat yang memerhati dan menjadi mangsa mereka. Doa rakyat insyaallah dimakbulkan Allah. Tanjung Piai membuktikannya. Mereka bercakaran sesama mereka, hukum karma atas perbuatan mereka.
 
Mohd Nasir Abdullah
30 November 2019