Hudud: Kerajaan PAS Terengganu Tidak Gopoh

151

Oleh Nooreni Abu Bakar dan Amirullah Mansor

DUNGUN – Kerajaan PAS Terengganu tidak tergopoh untuk melaksanakan syariah Islam termasuk hudud di negeri ini yang mendapat jolokan ‘Serambi Madinah’ itu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS I Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, buat masa ini kerajaan negeri banyak perbincangan ‘meja bulat’ dengan mengadakan penerangan dan penjelasan kepada semua pihak.

Menurutnya, langkah awal perlu mendidik rakyat tentang keindahan syariat Islam sehingga rakyat faham dan boleh berubah.

“Kita (kerajaan) hendak didik rakyat, indahnya syariat Islam, hidup dengan syariat, suka syariat dan sekarang ini masyarakat sudah berubah, pendekatan juga sudah berubah.

“Pendekatan yang diambil berperingkat-peringkat, dengan memberi taklimat pendidikan, makluman dan khidmat nasihat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan Jawatankuasa Masjid Peringkat Daerah Dungun di Pejabat Agama Dungun, di sini, pada 8 Oktober lalu.

Katanya, sedikit masa lagi kerajaan melalui bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama negeri akan mengambil tindakan kepada penunggang dan pembonceng motosikal bukan muhrim.

“Insya’Allah, lepas ini, kita (kerajaan) akan mengambil tindakan kepada penunggang motosikal yang membonceng bukan muhrim, buat secara hikmah dan kita tidak boleh tangkap terus letak dalam penjara.

“Kita nasihat dulu, maknanya tidak agresif dan dalam masa yang sama memberi imej yang baik supaya musuh-musuh tidak mudah menyerang kita,” jelasnya kepada jawantankuasa masjid di seluruh kawasan Dungun.

Sehubungan itu, kata Ustaz Satiful Bahri, pihak Jawantankuasa Masjid yang baharu dilantik tidak membuat perubahan yang drastik terhadap masjid-masjid di bawah pentadbirannya.

“Sekarang ini zaman ‘viral’ dengan kemudahan internet dan sebagainya, nanti tak terjawab (isu), jadi berhati-hatilah,” ujarnya.

Menurutnya, pengalaman memerintah Terengganu pada tahun 1999 hingga 2004 lalu telah mematangkan PAS dalam mentadbir negeri kali ini.