Houthi Mula Berundur Dari Pelabuhan Hudaidah

660

Pemberontak Houthi mula mengundurkan militannya dari pelabuhan Saleef dan Ras Isa di wilayah Hudaidah di bawah perjanjian damai yang ditaja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut saksi, pasukan PBB mengawasi pergerakan Houthi itu, yang telah tertangguh sejak beberapa bulan lalu.

PBB dalam kenyataannya pada Jumaat berkata, pemberontak syiah itu telah bersetuju untuk mengeluarkan pasukannya dari tiga pelabuhan utama, sebagai langkah membuka jalan bagi rundingan politik untuk menamatkan perang yang telah berlarutan selama empat tahun.

Kumpulan pembangkang Yaman itu akan mengalihkan pejuangnya selama empat hari bermula Sabtu.

Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan misi itu berkata, penempatan semula pasukan pemberontak itu adalah langkah praktikal yang pertama di lapangan.

Misi PBB dalam kenyataan sama menambah, tindakan harus diikuti dengan komitmen, telus dan berlanjutan bagi pihak terbabit untuk menyampaikan kewajibannya sepenuhnya.

Langkah itu akan membolehkan PBB mengambil peranan utama dalam menyokong Perbadanan Pelabuhan Laut Merah dalam menguruskan pelabuhan untuk meningkatkan pemeriksaan PBB terhadap kargo yang tiba.

“Perjanjian Stockholm pada bulan Disember, yang dimeterai hampir enam bulan yang lalu menegaskan Houthis perlu menarik diri dan mereka belum melakukannya (sepenuhnya),

“Sekiranya Houthis tidak melakukannya kali ini, ia boleh runtuh keseluruhan proses damai,” menurut laporan Al-Jazeera.

Di bawah perjanjian itu, pasukan pro-kerajaan juga dijangka meninggalkan lokasi di sekitar pinggir Hudaidah dalam penempatan semula awal, sebelum fasa kedua di mana kedua belah pihak kembali lagi.

Walau bagaimanapun, PBB tidak menyebut sebarang langkah timbal balik oleh pasukan pro-kerajaan, yang disokong oleh gabungan ketenteraan yang diketuai oleh Saudi-UAE.

Tidak lama selepas pengumuman itu, menteri maklumat Yaman Moammar al-Eryani berkata, tawaran penempatan semula adalah ‘tidak tepat dan mengelirukan’.

Dalam catatanya di Twitter, al-Eryani menambah bahawa sebarang pengunduran yang tidak membenarkan pemantauan dan pengesahan bersama tidak dapat diterima.

Houthi didakwa menggunakan Hudaidah sebagai titik pendaratan penyeludupan senjata yang dibekalkan oleh Iran ke Yaman.

Konflik Yaman, negara miskin di dunia Arab dengan penduduk kira-kira 28 juta orang, bermula dengan penaklukan Houthi di Sanaa yang menggulingkan Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi.

Gabungan ketenteraan yang diketuai oleh Saudi-UAE melancarkan campur tangan pada tahun 2015 dalam bentuk kempen udara besar-besaran yang bertujuan untuk mengembalikan semula kerajaan Hadi.