Himpunan Bantah ICERD; Presiden PAS Akan Hadir

1458

MARANG – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan kehadirannya untuk menyertai perhimpunan membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dijadualkan berlangsung pada 8 Disember.

Beliau menegaskan bahawa perhimpunan itu tiada kaitan langsung dengan isu perbalahan tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Selangor.

Sebaliknya, kata beliau, ia lebih bersifat pandangan politik kerana menurutnya, kerajaan hari ini masih bercelaru terhadap keputusan untuk meratifikasi ICERD itu.

Menurutnya, terdapat segelintir menteri yang masih mengeluarkan kenyataan tidak selari dengan pandangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Mengapa ia (perhimpunan) diteruskan? Kerana kita ada pandangan politik iaitu apabila ada segelintir menteri yang membuat kenyataan nak tangguh, tunggu dulu (berkaitan ratifikasi ICERD). Ini menunjukkan kerajaan masih celaru sedangkan kita perlukan penegasan.

“Selain itu, kenyataan menteri tertentu juga menunjukkan mereka tidak menghormati Perdana Menteri. Justeru, kita kena tunjukkan kekuatan orang Islam,” katanya ketika ditemui selepas Kuliah Jumaat, di sini, hari ini.

Oleh itu, Ahli Parlimen Marang itu juga berpendapat bahawa penganjuran perhimpunan itu akan mengukuhkan lagi kenyataan Tun Dr Mahathir yang sebelum ini berkata isu meratifikasi ICERD adalah mustahil untuk dilaksanakan di negara ini.

Beliau turut memberi jaminan bahawa perhimpunan bantah ICERD akan berjalan lancar tanpa sebarang perkara tidak diingini atau provokasi.

“Kita beri jaminan dan kita juga akan bekerjasama dengan pihak polis untuk mengawal peserta perhimpunan supaya ia berjalan lancar.

“Perkara ini (meratifikasi ICERD) berkait dengan orang Islam dan Melayu secara khusus tanpa mengira latar belakang politik termasuk polis itu sendiri. Justeru, kita merasa bertanggungjawab terhadapnya kecuali orang yang tidak memahami isu ini dan merasakan ia perkara remeh,” katanya.