HIMPUN : Anak Muda Perlu Hadir !

821

KUALA TERENGGANU – Anak-anak muda di ketiga-tiga negeri; Terengganu, Kelantan dan Pahang diseru untuk hadir ke Himpunan Perpaduan Ummah Pantai Timur (HIMPUN) yang akan berlangsung tiga hari lagi di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu.

Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT), Mohd Nasir Abd Razab, anak muda perlu hadir sebagai tanda sokongan kukuh kepada kerajaan negeri sedia ada.

“Anak muda adalah faktor utama pembangunan negara dan perlu hadir untuk mengetahui perkembangan semasa.

Dengan sokongan kuat dari anak muda pembangunan dan dasar-dasar negeri dapat diteruskan dengan jayanya.” tegasnya ketika dihubungi hari ini.

HIMPUN adalah program julungkali diadakan membabitkan tiga Menteri Besar di pantai timur di atas satu pentas.

Mewakili rakan sejawatannya di Pahang dan Kelantan, Mohd Nasir berkata mereka menggunakan mekanisma hebahan maya, kerahan melalui persatuan, NGO dan kelab-kelab motor untuk menarik anak muda hadir ke program HIMPUN pada 22 Ogos ini.

‘Kita menganggarkan lebih lima ribu orang anak muda akan hadir termasuk dari Kelantan dan Pahang.

Sementara itu sehingga kini antara 500 ke 1000 buah motosikal akan berkonvoi mengiringi tiga menteri besar tersebut ke tapak program.”

Justeru, Mohd Nasir berharap peserta konvoi dapat menjaga keselamatan dengan tunggangan yang cermat dan mematuhi segala arahan dari penganjur serta pihak keselamatan.

“Pakat hadir belaka, jangan ada anak muda yang ketinggalan, jaga akhlak dan batasan aurat.” sarannya pada semua golongan muda yang akan hadir.