Hero Yang Tidak DiDendang!

1175

Oleh : Wan Sukairi Wan Abdullah

Malam tadi selepas tarawikh di Masjid Abidin, saya ke Depo MBKT di Pulau Kambing. Di sinilah pusat hentian Lori sampah dan pekerja bahagian kebersihan.

Saya sengaja meyantuni pekerja pekerja bahagian kebersihan kira kira 150 orang bersama Dato Bandar Kuala Terengganu untuk memberikan penghargaan dan ucapan terimakasih kepada mereka atas khidmat mereka selama ini menjaga kebersihan dan keindahan Bandaraya Kuala Terengganu.

Sempena Hari Raya Eidilfitri ini mereka akan bekerja keras untuk terus mengekalkan kebersihan Bandaraya Kuala Terengganu walaupun ketika Raya. Saya masih ingat pada tahun 1999 dahulu, imej kerajaan PAS Terengganu sedikit tercalar apabila sampah sarap di pusat pembuangan sampah berlonggok agak lama.

Sempena Hari Raya tahun ini, pihak MBKT telah menyusun 3 syif sehari bermula malam tadi dan esok selepas solat Sunat Eidilfitri, mereka akan memulakan syif pertama diikuti kedua dan ketiga pada setiap hari sehingga 7 syawal. Insyaallah dengan kekuatan sebanyak 30 buah lori, mereka mampu lakukannya.

Mereka berikrar tidak akan membiarkan sampah itu dibiarkan bermalam di pusat pembuangan sampah. Saya begitu kagum dan berterimakasih pada mereka yang sanggup berkorban untuk bekerja pada saat orang lain bergembira menyambut Hari Raya bersama keluarga dan sahabat handai. Semua itu dilakukan untuk keselesaan kita.

Saya menyeru kepada saudara sekelian agar santunilah mereka, ucaplah terimakasih kepada mereka jika kita terserempak dengan mereka. Tak salah kalau kita memberikan duit raya atau kuih raya sebagai tanda terimakasih kita kepada mereka.

Saya mewakili warga Kuala Terengganu mengucapkan ribuan terimakasih kepada pekerja pekerja bahagian kebersihan MBKT yang sanggup mengorbankan keseronokan berhariraya demi keselesaan kami.

Semoga ALLAH SWT memberkati mereka semua dan memberikan mereka sebesar ganjaran insyaallah. Amin.

Semoga Bandaraya Kuala Terengganu akan terus bersih dan Indah.

Selamat Hari Raya Eidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.