Herman Tino Sedih Isteri Tentang Bertanding PRU-13

978
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita19/Herman%20Tino.jpg

Herman Tino atau nama sebenarnya Masrun Tamsi, 59 tahun, berkata isterinya, yang juga juruhebah di Klasik Nasional kecewa kerana beliau mahu mencabar penyandang kerusi Parlimen berkenaan iaitu calon Barisan Nasional (BN) yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

“Saya sedih kerana isteri tidak menyokong keputusan saya bertanding pada pilihan raya ini kerana dia tidak bersetuju saya menentang Noh Omar di kawasan undi berkenaan,” katanya dilaporkan akhbar atas talian mStar Online.

Selain daripada Datuk Seri Noh Omar dan Herman Tino, kerusi parlimen berkenaan turut ditandingi oleh calon Parti Islam SeMalaysia (PAS) iaitu Encik Mohamad Rashdi Deraman.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Datuk Seri Noh menewaskan Encik Mohamed Hanipa Maidin dari PAS dengan majoriti 3,820 undi.

Herman Tino, yang popular dengan lagu Yale Yale dan Pelita Dalam Kabus itu memperoleh wang sebagai deposit untuk bertanding selepas dua rakannya menggadaikan kereta mereka bernilai RM10,000 ($4,062).

Sehubungan itu, beliau berharap akan mendapat sokongan daripada isteri, yang menjadi tulang belakangnya selama ini untuk membantunya berkempen.

“Keputusan ini telah menjejaskan hubungan kami. Namun, saya sangat berharap dia akan menyokong keputusan saya bertanding di Tanjong Karang,” katanya, yang mendapat pendidikan sehingga tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Haron di sini.

Herman Tino bakal menampilkan tiga manifesto kepada masyarakat Tanjong Karang iaitu jambatan kasih sayang, perdamaian politik dan jaga harta benda sebagai bahan kempennya.

Kerusi parlimen itu mempunyai 42,410 pengundi berdaftar dengan pengundi Melayu seramai 31,096 orang, Cina (7,043), India (4,158) dan kaum lain (113).