Hentikan Politik Ugutan Dan Amalan Kronisme

490

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor

Kerajaan perlu agihkan kekayaan negara sama rata antara kaum. “Kita tidak mahu lihat negara terlalu kaya tetapi kekayaan tidak diagihkan secara adil antara semua kaum.” Begitu kenyataan Perdana Menteri ketika perjumpaan bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Januari 2019 di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya minggu ini.

Apa yang dihasratkan oleh beliau perlu dikotakan, bukan kata- kata muluk penghias bibir. Perjuangan utama PH sebagai kerajaan adalah untuk menunaikan apa yang dikatakan, bukan memunggah perangai buruk regim dunia ketiga dipelbagai penjuru dunia. Manifesto PH pada PRU ke 14 telah menjadi saksi dan bukti betapa PH hanya sekadar berjanji, berazam, dan ‘sembang kemas’ untuk membela rakyat namun tidak dilaksanakan . Pengundi merasa tertipu , “dikencingi” oleh politikus populis dan peliknya mereka tiada perasaan malu untuk terus berjanji dalam siri-siri pilihanraya kecil yang berlaku pasca PRU 14.

Sebagai Perdana Menteri, beliau adalah orang paling berkuasa di dalam negara ini, kata-katanya didengari. Luahan hati beliau perlu diterjemahkan dengan tindakan dan disambut oleh semua menteri-menteri lain termasuk gabungan parti dalam Pakatan Harapan (PH). Jangan ada mana-mana komponen dalam PH ‘berkhianat’ dengan kenyataan PM tersebut dengan menidakkan usaha PM itu. PM perlu bertegas untuk mengagihkan kekayaan kepada semua lapisan rakyat dan kaum tanpa mengalah kepada desakan segelintir pihak di sekelilingnya itu.

Sememangnya itulah yang dihasratkan oleh rakyat Malaysia. Jurang pemisahan antara yang miskin dan kaya terlalu jauh ketara. Yang kaya terus dengan kekayaannya manakala yang miskin jauh ketinggalan. Jika dinilai pada demografi rakyat di Malaysia, 31.9 juta jumlah rakyat Malaysia pada tahun 2017. 62.1% merupakan kaum Bumiputera, dimana 87.7% terdiri daripada Bumiputera Melayu dan 12.3% dari Bumiputera Lain. 28.7% daripada penduduk Malaysia ialah kaum Cina Masyarakat Orang India Malaysia pula merangkumi 7.2% daripada penduduk Malaysia

Dengan jumlah populasi ini sudah tentu jumlah Orang Melayu lebih ramai dari bangsa lain dan perbandingan masyarakat yang perlu dibantu atau diagihkan kekayaan adalah lebih kepada Bangsa Melayu sendiri. Kaum Melayu paling tercorot dalam pemilikan harta serta telah diatur oleh penjajah British untuk terpuruk di desa dan kekal miskin dengan peluang mobiliti sosial yang hampir tertutup. Mengagihkan kekayaan pada etnik utama negara ini bukan bererti menafikan hak dan bantuan kepada bangsa lain, kerana sesiapa sahaja yang susah daripada mana-mana kaum di negara ini perlu dibantu, apatah lagi jika kaum tersebut adalah yang menjadi penduduk majoriti di negara ini.

Realitinya, sikap pemimpin yang suka mengkayakan ahli keluarga sendiri, kenalan atau sekutu menjadikan jurang kekayaan dan kemiskinan antara kaum semakin melebar. Amalan memberi habuan berupa pangkat, kedudukan, jawatan, projek, tender, atau apa sahaja imbuhan kepada sekutu politik sepatutnya dihentikan di era kerajaan baharu PH. Namun nampak gayanya PH juga mengulangi kesilapan kerajaan BN dahulu apabila memberi jawatan termasuk pengarah agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan atau jabatan penting kerajaan, termasuk Pengerusi, Presiden atau Ahli Lembaga Pengarah universiti kepada tokoh-tokoh politik mahupun kenalannya. Akibatnya mereka ini menjadi ‘kaya segera’ dengan pelbagai projek yang boleh dijayakan walaupun ramai mereka yang tidak layak, sedangkan ramai lagi tokoh atau individu yang berkelayakan tidak dipilih.

Selain itu, sikap suka melobi, merebut jawatan dan tamakkan kuasa menjadi sebab kekayaan itu hanya berlegar pada individu tertentu. Lihatlah gelagat pelaku politik ketika berlangsungnya musim pemilihan mana-mana parti politik, berapa banyak duit habis dibelanjakan demi melobi dan membeli undi. Berapa banyak pula duit kerajaan (duit rakyat) habis dibelanjakan ketika satu-satu pilihan raya kecil (PRK) berlangsung juga demi membeli undi. PRK Seri Setia, Balakong, Port Dickson bukti dan Cameron Highland menjadi saksi akan parti kerajaan membelanjakan “duit rakyat” demi meraih undi. Dalam keadaan rakyat mengeluh dengan serba kesengsaraan dan kejerihan, kerajaan tidak berfikir utbuk berbelanja secara jujur dan berhemah. Tidak menghairankan ketika para pemimpin PH mengisytiharkan aset atau pendapatan mereka mencecah jutaan ringgit. Belum lagi yang tidak terdedah termasuk melalui proksi, kroni dan lain-lain yang tidak dilihat di mata kasar.

Jika PM benar-benar bertekad mahu membantu semua kaum, maka beliau dan kerajaan mesti bertindak telus kepada semua pihak. Royalti minyak mesti diberi kepada semua negeri yang layak seperti Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak walaupun mereka diperintah oleh pembangkang. Tiada istilah ugutan yang berbangkit seperti yang dibuat oleh seorang senator kepada Tok Batin di Cameron Highland agar tidak mengundi BN. Tiada lagi warga yang disisihkan, tidak dibantu, atau dibuang dari senarai penerima sumbangan kerana berbeza pandangan atau pegangan politik. Tiada lagi penceramah agama yang ‘dibekukan’ atau dibuang kerana sering mengkritik pemerintah. Tidak ada lagi lantikan politik untuk jawatan strategik dan penting seperti agensi kerajaan, GLC, dan lain-lain lagi. Kerajaan mesti memandang rakyat dan negara sebagai keutamaan tanpa mengira kedudukan dan sokongan mereka. Inilah mentaliti yang perlu diubah di era Malaysia Baru sekarang.

*(Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI)*