Hentikan Pesta Arak Yang Mengundang Murka Allah

780

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Rakyat negara ini terutama yang beragama Islam wajar merasa marah dan tersinggung dengan isu sambutan pesta arak ‘Oktober Fest 2018′ di Mid Valley Kuala Lumpur hari ini. Walaupun mendapat tentangan NGO -NGO bernuansa Islam namun ruang untuk penganjur mengadakan pesta arak ini seolah tiada halangan atas nama kebebasan dan hak asasi manusia. Pada tahun lepas 2017 menyaksikan bantahan tegas umat Islam terhadap Oktober Fest sehingga Selangor dan Wilayah Persekutuan tak membenarkan acara tersebut berlangsung manakala Pulau Pinang terus menganjurkan pesta arak dengan sinisan Ketua Menterinya,Lim Guang Eng bahawa , ” negeri kami bukan negeri Toliban”.

Pada tahun 2012, ketika ia julung kali diadakan, tujuannya sebagai merayakan pembuatan beer di Malaysia dan diadakan di Taps Beer Bar di Changkat Bukit Bintang dengan kehadiran 200 orang pengunjung. Ia diadakan sekali lagi pada tahun 2016 di Publika Shopping Gallery dengan menyediakan 150 jenama arak dan kehadiran mencecah 3500 orang. Pada tahun ini pula, penganjur membawa 250 jenama arak berbeza dari 43 syarikat arak (breweries) untuk memenuhi citarasa pengunjung dari serata dunia. Sasaran kali ini jauh lebih ramai dengan kehadiran 6000 orang.

Melihat kepada penganjuran festival ini, tentunya tidak ada masyarakat khususnya umat Islam mampu berdiam diri dengan membiarkan penganjur sewenang-wenangnya mengadakan pesta maksiat buat kesekian kalinya di Kuala Lumpur. Adalah sesuatu yang memalukan buat negara Islam seperti Malaysia, apabila program mungkar mudah mendapat tempat di hati masyarakat dan dibiarkan penganjurannya tanpa halangan. Kita tidak sanggup jika Kuala Lumpur dikenali oleh dunia sebagai pusat maksiat terbesar di Asia.

Dalam penganjuran pesta arak ini, walaupun penganjur beralasan ia adalah aktiviti untuk bukan Islam termasuk mempromosikan pelancongan terhadap masyarakat, namun, yang paling dikesali kerana mereka memilih Malaysia sebagai lokasi pesta arak. Malaysia telah menjadi destinasi strategik untuk aktiviti bebas kepada masyarakat luar seperti tidak ada sekatan undang-undang dan peraturan. Walaupun umat Islam bukan menjadi sasaran penyertaannya, tetapi tiada had atau halangan jika ada orang Islam yang menyertainya, sekaligus menggamit sesiapa sahaja untuk hadir termasuk orang Islam.

Jika penganjuran tahun 2017 kurang berjaya akibat bantahan awam terutama daripada PAS maka tidak mustahil aktiviti yang berskala lebih besar akan diadakan pada tahun-tahun hadapan jika tidak dibendung pada tahun ini. Normalisasi dosa serang menyergap tanahair kita sebagaimana meranumnya fahaman Islam liberal dibawah lanskap sosio politik ‘Malaysia Baru’. Arak adalah ibu maksiat yang sangat tercela dalam Islam. Apakah jaminan keselamatan dapat diberikan kepada orang awam yang tidak terlibat seperti berlaku jenayah, seks bebas, rogol dan lain-lain dengan penganjuran pesta arak terbuka ini.

Pendedahan demi pendedahan mengenai kemungkaran oleh pelbagai pihak membuktikan telah banyak kepincangan berlaku di negara ini, namun kerajaan PH tetap memekakkan telinga daripada mendengar keluhan rakyat. Sama ada ‘Oktober Fest’ adalah aktiviti terlepas pandang oleh pihak kerajaan (mustahil kerajaan tidak mengetahui sesuatu aktiviti rasmi yang berlaku di ibu kota), atau sengaja dibiarkan bagi menunjukkan sikap terbuka kerajaan kepada tuntutan minoriti yang menyimpang. Namun bagi umat Islam yang prihatin, tidak ada suara yang dapat mengungkapkan perkataan terhadap penganjurannya – melainkan bantahan keras dengan memastikan ia tidak diadakan di ibu kota.

Kebencian masyarakat terbanyak terhadap aktiviti maksiat juga perlu dipandang berat dan diraikan, bukan hanya meraikan keinginan segelintir manusia yang memuja nafsu. Kerajaan PH yang ditunjangi oleh elemen kelompok liberal seolah tidak mahu mengambil iktibar daripada amaran demi amaran yang Allah telah zahirkan. Jangan menganggap berpesta arak adalah dosa peribadi kerana dampak dan masalah hilirannya menganggu masyarakat awam yang cintakan kedamaian dan keharmonia.Hati masyarakat muslim negara ini tidak redha terhadap kemungkaran berlaku, merasa benci dengan pesta arak yang dianjurkan dan boleh mengundang kegiatan ekstremis yang menggugat ketenteraman awam. Batalkan Oktober Fest 2018!

(Penulis ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)