“Harta Ibadah” Sewajarnya Diagih Oleh Pemimpin Ahli Ibadah Juga

261

Para Ulamak berbeza pendapat tentang hukum individu muslim mewakilkan bukan Islam untuk mengagihkan zakat. Mazhab Syafie, Hanafi dan Maliki membolehkan. Manakala Mazhab Hambali pula mensyaratkan wakil hendaklah seorang muslim. Jika diwakilkan kepada bukan Islam untuk diagihkan maka Zakat itu tidak sah.

2. Alasan Hambali ialah kerana Zakat itu harta ibadah. Ia ditunaikan sebagai satu kewajipan daripada rukun Islam yang lima. Sedangkan bukan Islam bukanlah ahli ibadah. Maka tidak wajar harta ibadah diwakilkan kepada bukan ahli ibadah untuk diagihkan kepada Asnaf Zakat.

3. Dalam konteks khilaf perbezaan pendapat Ulamak maka terbaiknya keluar daripada khilaf sebagaimana kaedah feqah yang masyhur, dengan mengelakkan diri daripada mewakilkan bukan Islam untuk mengagihkan zakat.

4. Adapun dalam konteks isu pemimpin bukan Islam mengagihkan zakat milik orang Islam yang dikumpul oleh pihak berwajib seperti Lembaga Zakat kepada orang Islam ia perlu dilihat dari sudut tujuan dan juga syiar kepimpinan.

5. Adakah program agihan itu bertujuan menyampaikan hak kepada Asnaf Zakat semata-mata atau ia juga menjadi satu program politik untuk mempromosi kepimpinan bukan Islam kepada orang Islam.

Sekiranya ia menjadi agenda politik maka tidak wajar ianya berlaku menggunakan harta ibadah seperti Zakat oleh bukan Islam yang bukan ahli ibadah.

Ia juga berkaitan dengan hukum walak kepimpinan bukan Islam dalam Islam. Allah berfirman

لَّا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۖ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ إِلَّا أَن تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقَاةً ۗ وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفْسَهُ ۗ وَإِلَى اللَّهِ الْمَصِيرُ (28)
“Janganlah orang beriman mengambil orang yang kafir sebagai wali kepimpinan selain daripada orang beriman. Barang siapa melakukannya maka ia sedikitpun bukan daripada Allah, melainkan kerana kamu benar-benar takut kepada kepimpinan mereka.”
Surah Ali Imran ayat 28

6. Apakah pihak berkuasa seperti Lembaga Zakat berada dalam keadaan sangat takut dan gerun kepada kepimpinan bukan Islam sehingga mereka terpaksa menyerahkan urusan agihan Zakat kepada pemimpin bukan Islam?

7. Maka sangat wajar dalam isu agihan zakat hendaklah diserahkan sendiri oleh pihak berkenaan yang diberi tanggungjawab oleh umat Islam seperti Pusat Zakat terus kepada Asnaf tanpa perlu menerusi pemimpin politik bukan Islam. Sensitiviti masyarakat Islam perlu juga diambil kira dalam perkara ini.

8. Dalam masa yang sama perlu disedari keindahan sistem Zakat Islam. Orang bukan Islam juga boleh mendapat sebahagian daripada agihan Zakat apabila mencukuli syarat sebagaimana dibincang oleh para alim ulamak Islam.

Sekian

Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Sabtu 1hb Jun 2019