Hari Ke Dua Lawatan Berinformasi di Bumi Acheh

232

Banyak sangat nak kongsi hari ini. Excited!

Menyusuri perkampungan dan sawah padi, akhirnya sampai ke lokasi Kubah Tsunami. Kubah ini menjadi saksi betapa dahsyatnya tsunami sehingga Kubah terdampar di tengah-tengah sawah di kaki Gunung Gurah. Terbang jauh dari masjid asalnya.

Diceritakan seramai tujuh orang terselamat di atas kubah tersebut, termasuk naskah al-quran yang kini disimpan untuk pameran di bangsal pameran. Ketika tsunami, sampah dan mayat bergelimpangan sekitar sawah sehingga ke kaki bukit.

Seterusnya kami ke Masjid Rahmatullah. Disebalik kemegahannya, masjid ini menjadi saksi dasyatnya hempasan gelombang Tsunami. Masjid ini menjadi satu-satunya bangunan yang berbaki dari sebuah perkampungan di Kecamatan Lhoknga, Kabupaten Aceh Besar.

Apabila mendengar sendiri perkongsian Imam Masjid tersebut yang dihanyutkan air deras sejauh lima kilometer, air mata mengalir laju. Membayangkan suasana yang sangat dasyat. Isteri dan anak- anaknya hilang hingga ke hari ini.

Sebelum Tsunami, perkampungan ini dihuni oleh sekitar 6000 penduduk. Namun hanya sekitar 700 penduduk yang selamat, sedangkan ribuan lainnya hilang, hanyut dan meninggal dunia.

Lawatan berinformasi ini diteruskan lagi dengan mengunjungi Muzium di Bandar Acheh. Kisah sejarah pejuang- pejuang perempuan Acheh membangkitkan semangat juang kami. Nama- nama seperti Cut Nyak Dhien dan Laksamana Kamalahayati begitu memberi inspirasi.

Kami diberi peluang untuk membeli buah tangan di Pasar Acheh. Harga- harga jualan disini agar berpatutan dan menjadi destinasi pilihan terutama kaum wanita.

Destinasi seterusnya ialah masjid yang menjadi mercu tanda Bandar Acheh iaitu Masjid Raya Baiturrahman. Selain pernah menjadi pusat perkembangan ilmu dan markas pertahanan sewaktu perang, masjid ini turut melakar sejarah tersendiri ketika fenomena tsunami 2004. Bukan sahaja tetap kukuh berdiri, malah dijadikan sebagai tempat perlindungan.

Mula- mula kaki melangkah di sini, seolah- olah diri berada di Masjid Nabawi, Madinah. Terubat rindu dihati.

Di sebelah malam, kami berkesempatan mengadakan pertemuan dengan pelajar dan anak- anak Terengganu yang menuntut ilmu di sini. Ucapan taujihat dan penerangan ringkas telah disampaikan oleh wakil kami. Kami berharap pertemuan muhibah yang penuh mesra ini memberi suntikan semangat untuk anak- anak ini berjuang dalam medan ilmu.

Kami sampai di hotel penginapan hampir jam 12.00 tengah malam. Perjalanan yang penuh berinformasi.

Penat tapi puas.😊