Hanya 40% Karang Luntur Bukan 70% Sebagaimana Didakwa Kerajaan

280

http://buletinonline.net/images/stories/berita29/coralbleaching.jpgKUALA TERENGGANU – Persatuan Pengusaha-Pengusaha Pusat Pelancongan (Resort) Pulau Redang (Redang Operator Association) menafikan dakwaan Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia Hj. Abd. Jamal Mydin yang berkata kelunturan karang (gambar) berlaku sehingga 70%.

Menurut Presidenya, Lee Yat Loong, hanya 40% sahaja berlaku kelunturan karang di Pulau Redang.

Beliau turut kesal isu ‘karang luntur’ (Coral Bleaching) di sensasikan oleh sebuah media perdana berbahasa Inggeris sehingga menimbulkan kekeliruan dikalangan tempatan dan antarabangsa.

“Laporan akhbar tersebut seolah-olah keseluruhan pulau-pulau di Malaysia telah ditutup kepada para pelancong, kami menerima banyak panggilan daripada pelanggan dalam dan luar negeri, bertanyakan hal tersebut,”katanya dalam satu sidang media yang diadakan disini semalam.

Beliau berkata hanya kawasan menyelam (Diving Spot) Teluk Bakau di Pulau Redang yang telah diisytiharkan tutup oleh Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia pada 21 Julai lalu.

Katanya, terdapat lebih 20 kawasan menyelam di sekeliling Pualau Redang, oleh itu, para pelancong dan peminat aktiviti menyelam jangan teragak-agak untuk berkunjung ke Pulau itu.

Namun begitu, Persatuannya menyokong penuh langkah Taman Laut Malaysia menutup kawasan Teluk Bakau bagi memelihara terumbu karang dan bunga karang bahkan mencadangkan kepada pihak Taman laut supaya tiga lagi kawasan menyelam turut ditutup sementara bagi tujuan pemuliharaan hidupan laut tersebut.

“Persatuan kami telah mengadakan kerjasama pemantauan dan kajian terhadap terumbu karang dan bunga karang dengan pihak ‘Reef Check Malaysia’ dan mencadangkan kepada pihak Taman Laut supaya menutup tiga lagi kawasan menyelam; Pulau Ekor Tebu, Che Isa dan Tanjung Lebah (Pusat Snokel),

“bahkan pihak kami, menutup kawasan-kawasan tersebut kepada pelancong kami bukan sehingga 31 Oktober, bahkan sehingga musim akan datang, sekitar Mac, 2011,”tegasnya.