‘Hantu Kak Limah’ di Muktamar PAS Pusat

922

Semua sudah tahu yang satu-satunya parti yang memperjuangkan, mempertahankan serta mempraktikkan Islam sebagai ad-din dalam organisasinya ialah Parti Islam Semalaysia (PAS). Ianya amat bersesuaian dengan nama parti itu sendiri. Walaupun ada parti-parti lain yang mengaku mereka juga memperjuangkan Islam secara menyeluruh, ianya tidaklah lebih bagai pondan yang mendakwa dia dara sejati, tetapi penuh bulu di keting, dada, suara yang parau dengan kesan cukuran janggut dan misai di muka.

Umum juga maklum, PAS sekarang ini sedang dalam rangka persiapan untuk mengadakan Muktamar PAS Pusat bagi kali ke-65 di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) yang akan berlangsung pada 21 hingga 23 Jun ini. Sebagai parti yang berdaftar, ianya adalah kewajipan tahunan kepada pimpinan yang mesti dilaksanakan tanggungjawabnya seperti yang diarahkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) kecuali kerana beberapa sebab yang dibenarkan.

Tahun ini ialah tahun pemilihan PAS yang akan menyaksikan posisi tertinggi yang akan dipertandingkan ialah Naib Presiden setelah kerusi Presiden dan Timbalan Presiden dikekalkan oleh kawasan-kawasan secara sebulat suara. Ini adalah kebiasaan kepada semua apabila berpuashati dengan prestasi kedua mereka itu. Dan juga amalan sentiasa mahu menukar dua pimpinan tertinggi ini juga akan memberikan gambaran negatif bahawa sesebuah parti itu tidak stabil dan mengalami masalah dalaman yang serius.

Dahulu pada tahun 2015 dan sebelumnya, ramai Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan akan sentiasa menerima panggilan telefon oleh beberapa orang calon yang jika saya sebutkan di sini namanya, pasti anda semua mengenali mereka. Panggilan bagi melobi, memberitahu akan kesungguhan dan komitmen mereka bagi membawa parti ke arah yang lebih baik.

Ada sekali peristiwa berlaku betul-betul di hadapan saya, dapat didengar dengan jelas percakapan seorang calon AJK Pemuda dengan isterinya yang menyatakan kekecewaan atas kekalahannya dan mengutuk salah seorang calon yang menang. Alhamdulillah sudah Pan dia sekarang dengan akhlak difahamkan semakin dibenci orangnya sendiri. Pastinya mereka ini akan mengaku mereka membawa aspirasi Presiden, sebagai umpan. Walaupun selepas itu, hampir setiap hari Presiden ditentangnya.

Dan pada tahun-tahun tersebut juga akan ada beberapa siri kejadian yang boleh dianggap sebagai mempromosi diri. Paling disukai ialah calon yang keluar masuk penjara. Ia adalah ramuan terbaik bagi kerusi AJK PAS Pusat. Pada tahun 2015, iaitu mungkin boleh dikatakan sebagai ‘the last battle’ bagi kumpulan yang ingin membawa PAS menjadi khadam DAP. Mereka kecundang walaupun tidak sedikit kempen-kempen yang mereka jalankan yang sebenarnya telah kelihatan semenjak 2014 di Batu Pahat lagi. Dan setelah 2015, pada tahun pemilihan, panggilan-panggilan kepada YDP-YDP itu sebelum muktamar, tidak lagi kedengaran.

Mereka sehingga kini biasanya memuja bekas-bekas presiden parti PAS padahal presiden itu mati dalam PAS. Mendakwa ‘jika’ almarhum masih hidup, pastinya almarhum akan bersama mereka. Tiadalah tanda akan kebodohan itu apabila mereka membuat perbandingan ‘jika masih hidup’, sesuatu yang belum pasti, dengan ‘sudah mati dalam PAS’ iaitu ketentuan dari Allah yang telah terjadi. Sudahlah menolak takdir, kemudiannya menolak pula sejarah yang sudah diketahui orang. Agak kronik ke’goblok’kan mereka ini.

Kemudian baru-baru ini, ada seorang yang pernah diangkat menjadi pemimpin dalam organisasi PAS, sibuk ke Hulu Kelantan bagi membuktikan kononnya suatu kejahatan telah dilakukan dengan sengaja oleh Kerajaan Kelantan. Tiap-tiap hari selama beberapa hari, ada sahaja kenyataannya dalam akhbar berkenaan kematian orang asli di Gua Musang. Gigih sungguh dia. Dalam FB pula ‘news feed’ dari ‘page’ beliau, sentiasa berada di atas, bagi bacaan orang ramai, untuk isu ini. Memang galak berkokok, ditambah masanya ini sangat dekat dengan muktamar.

Dia tetap dengan teori lombong haram dan pencemaran sungainya walaupun Hazmat dan kemudiannya Timbalan Perdana Menteri mengesahkan tiada pencemaran berlaku. Menyokong teorinya di belakang ialah seorang Timbalan Menteri yang pernah menggunakan pengangkutan kerajaan bagi kempen PH di Cameron Highland dahulu. Ia hampir sama dengan teori benang yang dimasukkan ke dalam tangki minyak motor, memecahkan molekul minyak bagi menjimatkan penggunaan petrol. Jadi nampaklah kita siapa yang konon dikatakan profesional dalam PAS dahulu. Itu belum disebut perihal projek Kompleks PAS dan lain-lain lagi. Bodohnya makin melantun-lantun.

Tekanan beliau jelas terarah kepada Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah, musuh lamanya. Saya sempat bertanya kepada salah seorang sahabat saya, doktor pakar berkenaan penyakit tibi dan pneumonia ini adakah berpunca dari masalah air tercemar. Dia menjawab ringkas, tidak. Tetapi bekas pimpinan PAS itu, ‘istiqamah’ menyerang. Kemungkinan serangan ini mempunyai serampang dua mata, iaitu menonjolkan diri sebagai pengganti yang layak kepada Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dan juga ingin menjatuhkan Naib Presiden PAS yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Adun Paloh, Datuk Norzula Mat Diah (BN) pernah memohon maaf kepada beliau kira-kira tiga hari sebelum pemilihan muktamar 2009 yang kebetulan dia juga menjadi calon Timbalan Presiden. Pun begitu, dia kalah juga. Dia boleh menjadi pakar dalam banyak perkara. Pakar perhutanan, pakar hal ehwal orang asli, pakar alam sekitar, pakar ekonomi, pakar menjinakkan jin, pakar membodek. Dan terbaharu ialah pakar memfitnah. Sebutlah apa sahaja isu yang dia bawakan, pastinya akan mati di tengah jalan. Rasuah 90 juta contohnya, sehingga sekarang diam membisu. Bangangnya semakin bertingkat-tingkat setelah keluar PAS.

Begitulah bersemangatnya mereka untuk mengganggu ketenteraman PAS walaupun mereka telah dihalau dengan hina oleh perwakilan PAS yang bijaksana pada tahun 2015 dahulu. Ketua kumpulan mereka juga mendakwa bahawa seramai ratusan ribu ahli PAS akan menyertai mereka. Mereka tiada sifat malu. Mantan Presiden orang, mengaku dia punya, bekas Musyidul Am orang, dia nak ambil jadi hak dia, ahli parti orang, dia nak kutip, Muktamar orang, dia nak tumpang sekali menonjolkan diri. Rindu? Atau gila?

Jadi inilah yang saya sebutkan sebagai ‘hantu Kak Limah’. Kerjanya mengacau orang. Dia tiada apa-apa yang boleh orang tumpang. Lebih bertambah meracau apabila hantu Kak Limah itu dikuasai oleh jin dari kalangan bunian. Jin yang dulunya dikatakan mempunyai kuasa 10. Namun kini hanya mampu menguasai seorang Kak Limah yang dikatakan tidak siuman itu. Itupun setelah Kak Limah mati.

Oleh itu pemilihan PAS kali ini, pastinya perwakilan perlu lebih fokus untuk memilih yang terbaik dari kalangan yang terbaik setelah yang dahulu kita tertipu kononnya sebagai yang terbaik itu dan mujur telah disepak keluar. Apatah lagi rakyat sedang melihat dengan serius rangka kerjasama dan hala tuju PAS dan BN. InsyaAllah siapapun yang bakal dipilih, mereka akan membawa mesej Islam dan membantu Presiden bagi menjulang Islam ke tempat yang sepatutnya. Tetapi harus diingat. ‘hantu Kak Limah’ yang dikuasai jin bunian ini, boleh menjelma dalam berbagai bentuk. Bacakan ruqyah, insyaAllah mereka akan lari.

Mohd Nasir Abdullah
Al-Khor, Qatar
17 Jun 2019