Halang Perjuangan Islam Musuh PAS

349

Oleh KAM

KUALA NERUS: PAS sedia berkawan dengan sesiapa sahaja yang membuka laluan bagi mendaulatkan Islam dan siapa yang halang akan menjadi musuhnya.

Perwakilan Perak, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, perjuangan PAS selama ini bukan untuk memusuhi mana-mana parti termasuk Umno.

Sebaliknya, kata beliau, perjuangan PAS adalah bagi mendaulatkan Syariat Islam memerintah negara.

“Kita (PAS) berjuang untuk mendaulatkan Islam selama ini. Siapa sahaja yang sudi membuka laluan untuk mendaulatkan Islam, dia adalah kawan PAS.

“Sesiapa sahaja yang menutup laluan untuk mendaulatkan Islam, dia adalah musuh PAS. PAS berjuang selama ini juga demi kepentingan rakyat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden Sempena Muktamar Tahunan PAS Kali ke-64, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di sini, semalam 15 September.

Justeru itu, katanya mana-mana parti yang pernah bersama dan bertahaluf dengan PAS akan menjadi baik.

“Tun Dr Mahathir pernah berada di pentas PAS suatu ketika dahulu. Tun Mahathir tidak mengkritik PAS dan jadi baik pada masa itu. PAS juga pernah bersama Parti Melayu Semangat 46 dan tidak kedengaran pemimpin parti Semangat 46 menentang perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

“Begitu juga ketika PAS bersama parti Perikatan (Barisan Nasional) yang bersatu dengan Umno suatu ketika dahulu. Kita lihat polisi-polisi Islamik berjaya diperkenalkan oleh PAS dalam kerajaan pada masa itu dan disambut baik oleh mereka.

“PAS pernah bekerjasama dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan PKR. Apa yang dia (Anwar) tidak kata kepada Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat? Tetapi, setelah bersama dengan PAS, Dato’ Seri Anwar Ibrahim puji Dato’ Nik Aziz sehingga ke hari ini.

“Begitu juga kita lihat ketika PAS bersama DAP. Pemimpin DAP terpaksa tanya dengan kita, apakah ayat (tafsir al-Quran) yang dia nak baca dan hafal makna-makna hadis. DAP jadi baik setelah berkawan dengan PAS,” ujarnya.

Katanya, sejarah telah membuktikan siapa sahaja yang bersama dengan PAS atau bertahaluf dengan PAS, kejahatan mereka berubah.

Namun, kata Ustaz Akmal, selepas mereka berpisah dari PAS, mereka akan kembali menjadi jahat dan ‘cacamerba’.
Menurutnya, dasar dan prinsip perjuangan PAS tidak pernah berubah seperti ikan di laut, walaupun air laut itu masin tetapi ikan tetap tidak masin.