Hairie Akan Bersama Memeriahkan PGU04 dan Himpunan Hijau Peringkat Negeri Terengganu

607

Menurut Setiausaha Dewan Pemuda PAS Terengganu, Zaidan Abdullah, Hairie akan muncul dalam program Santai Ustaz Azhar Idrus bersama Selebriti Leman Raja Lawak.

“Hairie akan hadir program PGU04 dan bersama sesi ‘Xpresi Hijau Anak Muda’ yang bermula jam 2 petang pada Sabtu,

“beliau bersama Leman Raja Lawak akan berada sepentas dengan Ustaz Azhar Idrus,”ujarnya.

Sementara itu, semalam Rabu 27 Jun, Hairie telah mengadakan pertemuan empat mata dengan Mursyidul Am, Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat.

Menurut Pegawai Khas Tuan Guru Nik Aziz, Wan Zulkifly Wan Yaacob, pertemuan tersebut telah diadakan disebuah hotel di Kuala Lumpur.

“Tok Guru hadir ke Kuala Lumpur sempena mesyuarat Majlis Raja-raja, Hairie datang untuk bertemu dengan Tok Guru kira-kira pada jam 1 petang,”jelas Wan Zul ketika dihubungi Buletinonline.

Beliau berkata, Hairie menghabiskan masa kira-kira sejam dan sempat solat zohor berjamaah bersama dan makan tengah hari bersama Menteri Besar Kelantan itu.

Sehubungan itu, komen dalam laman sosial beliau, dibawah gambarnya bersama Tok Guru, Hairie menulis; “ Saya budak baru belajar, pimpinlah,didiklah saya kearah yang lebih baik..saya menyokong dan bersama dalam perjuangan menegakkan dasar Islam.. Allahuakbarr..,”.

Dalam komen lain, Hairie mengkritik tindakan kerajaan Umno-BN yang mengugut dan memaksa memilih parti tersebut pada pilihanraya umum akan datang.

“Ini lagi satu cara mengguna kuasa memerintah sesuatu kerajaan dengan memaksa rakyat memilih dengan paksaan. Jikalau parti lain memerintah, apakah anda setuju dengan cadangan memaksa rakyat ini?,”soal Hairie.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berita Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Ahmad Said  yang meminta individu meletakkan jawatan dalam kerajaan sekiranya menyokong pembangkang

Hairie juga pelik dengan sikap taksub seorang penyokong Umno-BN yang memberikan respon memfitnah beliau serta PAS sebaik beliau mengumunkan untuk bersama dalam perjuangan partu itu.

Jom Anak Muda ke Xpresi Hijau Terengganu!

Dalam perkembangan yang sama, Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) menjemput semua anak muda untuk turut bersama-sama dalam program “Xpresi Hijau Anak Muda”.

Menurut  Setiausahanya, Zaidan Abdullah, program yang diadakan sempena Himpunan Hijau ke Putrajaya dan PGU 4.0 itu akan membariskan tokoh-tokoh pemimpin muda PAS.

Antaranya, kata beliau, adalah Ketia Pemuda PAS Malaysia Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi dan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Katanya,’ Xpresi Hijau’ akan turut diserikan dengan persembahan nasyid oleh kumpulan UNiC dan Ustaz ‘Alim Shoutul Amal.

“Kemuncak program ini adalah Santai Ustaz Azhar Idrus bersama Selebriti Leman Raja Lawak dan pelakon Hairie Othman.

“Program Xpresi Hijau ini akan dimulakan dengan Konvoi Anak Muda seawal jam 9 pagi bermula dari Masjid Pengadang Baru ke tapak program bagi menyemarakkan perasmian Himpunan Hijau PGU 4.0,”katanya dalam siaran media yang diedarkan hari ini.

Beliau menambah, program penuh Xpresi Hijau akan bermula jam 2.00 petang dan dijangka berakhir jam 6.30 petang.