Guru PASTI Dun Telemong Terima ‘Laptop’

135

Oleh: Shahril Aswad

HULU TERENGGANU – Sebanyak enam Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong menerima sumbangan komputer riba dan mesin pencetak daripada Pusat Khidmat Masyarakat DUN.

Pegawai Penyelarasnya, Mohd Safari bin Abu berkata, sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada derma orang ramai yang ingin melihat pusat pendidikan islam ini terus cemerlang.

“Pemberian komputer riba dan printer ini adalah dari sumbangan para dermawan yang ingin melihat pusat didikan islam seperti PASTI agar tidak ketinggalan dari kemajuan teknologi maklumat.

“Ini adalah salah satu usaha kita membangunkan pendidikan untuk pra sekolah berteraskan agama dan diharapkan dengan sumbangan ini, kita dapat bantu sekolah meningkatkan kecemerlangan dalam kalangan murid dan guru,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menyerahkan komputer riba dan printer kepada guru PASTI yang terlibat di Dewan Mesyuarat Pusat Khidmat Masyarakat Dun Telemong, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dun Telemong Ustaz Mohamad Yusuf Abdullah dan Pengarah PASTI Dun Telemong, Ahmad Rasydan Mohd Nor.

Mohd Safari berkata, pihaknya sedar bahawa teknologi diperlukan dalam pengajaran dan pembelajaran kerana ia secara tidak langsung dapat meningkatkan kecemerlangan sekolah disamping memudahkan urusan guru.

“Tanpa teknologi mungkin kecemerlangan kita akan sedikit ketinggalan justeru pihak kami dan dermawan tampil memberi sumbangan berkenaan malah ia juga berdasarkan cadangan pelbagai pihak,” tambahnya.