Gimnastik Wanita: Kalau Sudah Dikasi, Tengok Sajalah

352

Oleh ; Mohd Nasir Abdullah

Saya percaya majoriti rakyat Malaysia mengenali dan pernah mendengar kisah seorang pahlawan China yang bernama Laksamana Cheng Ho. Beliau dikatakan seorang muslim berasal dari Yunnan. Berkhidmat sebagai pegawai diplomat, yang juga ketua angkatan laut China dalam era Dinasti Ming. Dikisahkan juga beliau pernah datang ke Melaka. Cheng Ho meninggal sekitar 1433 di India. Tidak dinyatakan di manakah kuburnya.

Cerita kedua, saya pernah mendapat maklumat yang seorang rakyat Malaysia, berasal dari Perak, diberitakan telah dipilih menjadi pembantu lelaki di Masjid Nabawi. Beliau bebas keluar masuk walaupun ke kawasan wanita bagi menjalankan tugas-tugas yang tidak mampu dilaksanakan oleh petugas wanita. Tetapi hanya dia seorang yang dipilih dari Malaysia, menurut cerita yang bersumberkan mulut itu. Mengapa beliau begitu istimewa sehingga boleh keluar masuk ke kawasan wanita pula?

Apa kaitannya dua orang ini? Dari segi kerjayanya jauh berbeza. Sebenarnya kedua-dua mereka telah dikasi bagi menjalankan tugasan mereka. Kasi? Ya, kasi ialah satu cara bagi mematikan nafsu lelaki atau dikenali sebagai kembiri. Bukan kasi seerti dengan memberi. Apabila saya bertanyakan ulamak tentang hukumnya kembiri ini, ada pendapat yang membolehkannya. Baiklah, kita berhenti setakat ini, tidak mahu memanjangkan isu fiqh. Apapun pendapat lain, terserah kepada anda untuk memilih.

Saya membaca kenyataan balas segera yang agak emosional oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berhubung dengan keputusan Kerajaan Negeri Terengganu yang mahu menarik diri dari sebarang sukan gimnastik dan gimrama yang melibatkan wanita yang katanya isu ghairah tidak timbul sama sekali. Maka timbul di benak fikiran saya untuk memasukkan nama beliau dalam cerita ketiga, tentang individu yang telah menjalani proses dikasi kerana tugasan mereka.

Sebagai seorang lelaki yang normal, jika memandang secara berterusan wanita yang berpakaian ketat yang jelas menampakkan segala ‘perhiasan’ diri yang sepatutnya disimpan untuk mereka yang dihalalkan sahaja, pastinya si lelaki akan merasa ‘kelainan’ dalam diri mereka, walaupun ketika bersukan. Tidak perlu menipu. Saya menulis dalam konteks lelaki yang normal. Yang saya maksudkan normal ialah lelaki yang tidak dikasi dan lelaki yang sukakan perempuan. Jika anda bukan dalam kategori ini, maaf, tulisan ini bukan untuk anda.

Suka saya senaraikan beberapa kes cabul atlit wanita, pernah direkodkan berlaku. Dalam satu kes kematian misteri atlet olahraga wanita Malaysia, Rabia Salam pada 25 Februari 1994, yang kemudiannya membawa kepada mesyuarat khas Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) pada 23 Mac 1994 sebulat suara bersetuju menggantung keahlian jurulatih Rabia, C. Ramanathan, susulan siasatan kes pencabulan dan meramas buah dada ke atas beberapa atlet wanita semasa persiapan skuad negara ke Kejohanan Remaja Asia di New Delhi, India pada 1992. Kematian Rabia tidak diumumkan sebabnya sehingga kini. Berbagai spekulasi terdengar mengenai punca kematiannya, tetapi isu pencabulan, sangat dipercayai sebagai punca.

Pada 14 April 2019, satu laporan polis telah dibuat oleh Persatuan Penyelam Profesional Semporna, Sabah kerana dua wanita dari Shenzhou, China, mendakwa jurulatih menyelam menyentuh bahagian sensitif badan mereka ketika sesi menyelam, dikatakan berlaku di perairan Semporna, beberapa bulan lalu. Mereka mendesak agar siasatan dijalankan dan mahukan hukuman setimpal dikenakan. Di Amerika Syarikat pula, bekas doktor pasukan gimnastik AS, Larry Nassar, 54 dijatuhkan hukuman lebih 300 tahun atas dakwaan mencabul. Beliau dikatakan telah mencabul seramai 265 orang wanita. Nassar yang pernah melalui empat Sukan Olimpik, dituduh melakukan perbuatan terkutuk itu di antara 1998 dan 2015 ketika bertugas dengan skuad gimnastik AS dan Universiti Michigan.

Pada 22 Disember 2017, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mengeluarkan kenyataan alasan pemberhentian jurulatih skuad terjun Malaysia, Yang Zhuliang ialah kerana kaedah latihan Yang, yang ‘tidak selamat’. Khairy berkata, budaya dan persekitaran berkenaan mengundang kes rogol, gangguan seksual, keganasan, tindakan memukul, buli dan ugutan dalam skuad kebangsaan. Walaupun Zhuliang sendiri tidak terbabit dalam perkara terbabit, beliau membenarkan ia merebak tanpa kawalan walaupun selepas beberapa amaran diberi kepada beliau dan seorang lagi jurulatih yang amat rapat dengannya. Dan Khairy menegaskan tiada pingat yang lebih tinggi nilainya daripada keselamatan atlit.

Saya tidak fikir yang Ketua Pengarah MSN tidak menyedari isu ini. Bagi makluman Ketua Pengarah MSN, dalam Islam pula, kita ada batas sebagai hamba kepada Allah. Tidak seharusnya bila kita sebut tiada ghairah atau semaksud dengannya, maka hukum Allah menjadi tidak laku. Sama dengan tidak merasa mabuk bila meminum arak, tidaklah pula arak itu otomatis menjadi halal. Kerajaan Terengganu mempunyai jawatankuasa khas bagi meneliti hal keadaan sukan itu, adakah menepati kehendak agama atau adakah jalan atau dalil yang mengharuskan sukan itu untuk dimainkan. Jawatankuasa ini terdiri daripada agamawan-agamawan yang diiktiraf. Tidak boleh atas nama sukan, semuanya hendak diluluskan, tanpa mengira hukum.

Oleh itu saya ingin menasihatkan Ketua Pengarah MSN agar belajar menghormati kehendak pihak lain yang mempunyai kuasa atas tindakan mereka. Kerajaan Terengganu adalah dari parti PAS yang dipilih oleh rakyat, dan rakyat Terengganu begitu memahami akan keazaman PAS dalam mendaulatkan Islam dalam ruang demokrasi yang ada. Ianya bukan satu polimek apabila Terengganu memutuskan menarik diri dari sukan gimnastik ini atas nama agama. Sebaliknya polemik tercipta apabila ada orang yang tidak memahami kehendak rakyat yang memilih kerajaan, kesungguhan mahu berjalan atas jalan Allah dan tidak menghormati keilmuan orang lain.

Ketika statistik kes-kes cabul, rogol atau zina di negara sedang mendaki menaiki tangga dan senarainya semakin banyak, kita mungkin memerlukan khidmat Ketua Pengarah MSN untuk menurunkan ilmunya bagi membendung perasaan ghairah lelaki-lelaki ini terhadap wanita yang bukan sahaja yang menutup aurat dengan sempurna, tetapi juga apabila berhadapan dengan wanita yang berpakaian ketat yang menampakkan segala-galanya. Itu jika lelaki normal. Tapi kalau lelaki dah dikasi, memanglah tengok saja, apa lagi yang boleh dibuat, walaupun telanjang di depan mata, kan?

Bila perempuan pakai pakaian yang sopan dicabul, lelaki yang disalahkan. Baiklah, boleh diterima. Bila perempuan pakai pakaian yang tersembul keluar semua benda, kena cabul, lelaki juga yang salah, tak kuat iman katanya. Jadi, atas nama IMAN, nak kasi lelaki ke, atau nak hentikan sukan sebegitu?