GENERASI Lancar Derma Kilat Bantu Mangsa Rumah Terbakar

258

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN – Pertubuhan Generasi Warisan Negeri Terengganu (GENERASI) telah melancarkan derma kilat serta merta bagi membantu meringankan beban mangsa rumah terbakar di Felda Jerangau baru-baru ini.

Pengerusi GENERASI Negeri Terengganu, Naraza Muda berkata, serahan sumbangan telah diserahkan sendiri apabila pertubuhan itu telah turun padang menemui mangsa yang terlibat.

“Kita hulurkan derma dan sumbangan ini setakat yang termampu melalui GENERASI.

“Ujian ini besar buat mereka, dengan segala harta benda tidak dapat diselamatkan dan kedua-dua buah rumah hangus seratus peratus serta sebuah rumah lagi beberapa keping atap telah dipecahkan demi menyelamatkan rumah berkenaan dari terbakar.

“Hari ini kita juga telah bergotong royong memperbaiki rumah yang ketiga ini dimiliki oleh Minah Hassan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media di tapak rumah terbakar, di Felda Jerangau, semalam, 7 Julai.

Menurutnya, dua buah rumah yang terbakar hangus itu dimiliki oleh Mohd Sidek Muhammad yang merupakan ketua GENERASI Felda Jerangau dan juga Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Jerangau.

Kata beliau, sebuah rumah lagi adalah milik Engku Zulkifli Engku Rashid.

“Jika dihitung kerugian kedua-dua rumah bukanlah satu jumlah kerugiaan yang sedikit, mencecah tidak kurang dari RM 250,000 termasuk nilaian rumah,” ujarnya.

Tambah beliau, dengan apa yang dimaklumkan sehingga ke hari ini semua pihak masih tidak putus-putus menghulurkan bantuan dan perkara tersebut telah mendapat perhatian dari Ahli Parlimen Dungun, Wan Hasaan Mohd Ramli.

“Walau bagaimanapun, nilaian yang diterima tidak mampu menyamai jumlah kerugiaan yang ditanggung.

“Bantuan bukan hanya setakat bantuan kewangan sahaja, juga datang dalam bentuk memberi sokongan moral bagi memulihkan semangat mangsa,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata,salah seorang daripada mangsa, iaitu Saudara Sidek menginap sementara waktu di Quartes Kilang FGV, Felda Jerangau.

Justeru itu, Naraza menyeru kepada semua agar sama-sama membantu menghulurkan bantuan samaada dari segi duit ataupun sumbangan lain bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa.

“Peristiwa ini kita sifatkan mempunyai hikmah dan pengajaran buat kita bahawa Allah maha berkuasa atas segalanya.

“Memberikan kita peringatan bahawa hari ini hari mereka ditimpa kesusahan, akan datang mungkin kita juga akan berhadapan dalam situasi yang sama.

“Oleh kerana itu, sama-samalah kita bantu membantu dan semaikan sifat saling berkasih sayang diantara sesama insan,” tambahnya.