Generasi Belajar Urus Jenazah

181

Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN – Masalah kekurangan pengurus jenazah berkebolehan mendorong Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi) menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah di Masjid Jamek Kertih 5, Ketengah Jaya, di sini, hari ini.

Pengerusi Generasi Negeri Terengganu, Mohd Rusman Rani, berkata seramai 50 peserta mengikuti kursus itu yang mendapat kerjasama Masjid Jamek Kertih 5 dan MPKK Felda Kertih 5.

“Peserta diajar teori pengurusan jenazah selain latihan praktikal bagi memudahkan pembelajaran,” katanya lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili ketika merasmikan program pula berkata, pengurusan jenazah adalah fardu kifayah yang sekiranya di sesebuah kampung itu tiada seorang pun penduduk mengambil tanggungjawab menguruskannya, semua penduduk di kawasan berkenaan menanggung dosa.

“Mengurus jenazah memerlukan seseorang yang kuat semangat dan bersifat amanah kerana mereka bertanggungjawab bermula dari proses memandikan jenazah sehingga kafan sebelum disembahyangkan,” ujar beliau.

Menurut Ir Saiful Azmi lagi, mempelajari cara pengurusan jenazah merupakan antara inisiatif yang dapat mengingatkan kita kepada kematian terutama sekali bagi masyarakat Islam.

“Betapa signifikannya mempunyai pengetahuan yang mendalam berkaitan perkara ini agar setiap umat Islam mampu untuk membantu menguruskan jenazah terutama sekali jenazah ahli keluarga sendiri pada masa hadapan,” tambah beliau lagi.