GENERASI Bantu Anak Felda

265

Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN – Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI) bersedia membimbing anak Felda generasi ke-2 dan ke-3, yang berminat menternak puyuh bagi membantu mereka menjana pendapatan baharu.

Pengerusi GENERASI Negeri Terengganu, Mohd Rusman Rani berkata, usaha ini jika dijayakan akan melahirkan ramai penternak puyuh memandangkan aktiviti ini tidak memerlukan modal besar dan boleh diusahakan di kawasan rumah.

“Penternakan burung puyuh di kalangan masyarakat kita masih di tahap kecil-kecilan kerana ramai menganggap penternakan ini susah untuk mencapai ke tahap komersil.

“Kebanyakan penternak pula mengamalkan cara penternakan tradisional dan tidak melakukannya secara meluas,” ujarnya di Kertih, di sini, hari ini.

Mohd Rusman bersama 10 anak muda Felda mengikuti Kursus Ternakan Puyuh anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) di Al-Muktafi Billah Shah, Dungun pada Isnin, semalam.

Menurutnya juga, usaha ini boleh membantu sektor pertanian di negeri ini mewujudkan pengeluar utama telur atau daging puyuh jika dapat dilakukan dengan serius, sekali gus dapat membuka ladang ternakan.

“Justeru, dengan menyertai kursus seumpama ini, ternyata ia dapat memberi banyak ilmu pengetahuan dan pengetahuan bagaimana prosedur penternakan ini dapat menjana pendapatan khusus kepada anak-anak Felda ini sendiri dan orang ramai yang berminat dalam kerjaya ini,” katanya lagi.