Generasi Agih Bantuan 26, 000 Pakaian Sekolah

551

KUALA TERENGGANU – Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI) akan mengagihkan sebanyak 26,000 pasang pakaian sekolah bagi sesi 2019 ini.

Pengerusi Generasi Terengganu Naraza Muda berkata, selain mereka yang kurang berkemampuan, bantuan disasarkan kepada penduduk yang terlibat dengan bencana banjir di kawasan pendalaman termasuk kawasan Felda.

“Alhamdulillah, hari ini kami (Generasi) mendapat sumbangan berupa pakaian sekolah daripada sebuah syarikat yang memberi amanah kepada kami untuk diagihkan.

“Ini (agihan) bukan sahaja di negeri Terengganu. Bahkan, juga di negeri-negeri yang terlibat dengan bencana khasnya.

“Kami juga melihat aspek kemiskinan dan keperluan para pelajar kita, khasnya di kawasan pendalaman. Kita akan agihkan kepada NGO-NGO yang kita fikir perlulah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Pelancaran Sukarelawan Bencana Terengganu Skuad Pacuan 4×4 oleh Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di perkarangan Wisma Darul Iman, di sini, semalam 26 Disember .

Oleh itu, kata beliau, sebanyak lapan NGO di negeri ini menerima sejumlah tertentu agihan sumbangan tersebut.

“Pelancaran Sukarelawan Bencana Terengganu ini dari kalangan ahli-ahli NGO Generasi negeri Terengganu, untuk mereka memberi sumbangan kepada mana-mana pihak. Khasnya di kawasan pendalaman dan kawasan-kawasan yang yang terlibat dengan bencana.

“Kita juga mahu ‘rebranding’ semula nama Generasi Terengganu supaya ianya lebih mantap, untuk mereka lebih kedepan dalam program masyarakat khasnya kawasan-kawasan Felda,” jelasnya.

Lapan NGO di negeri ini masing-masing menerima agihan pakaian iaitu Generasi Terengganu sebanyak 2,000 pasang, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu (1,000), Persatuan Pengguna Dungun (PADU) 500 pasang, Iman Care (500), Kumpulan Aktivis Media Independent (KAMI) 500 pasang, Persatuan Prihatin Asnaf Terengganu (500), Persatuan Belia Fajar Hiliran Sejahtera (500) dan NGO Generasi Pusat sebanyak 3,000 pasang.

Menurutnya, Generasi menerima sumbangan pakaian sekolah itu daripada sebuah syarikat yang dimiliki oleh anak peneroka.

“Sumbangan yang kami (Generasi) terima ini 26,000 pakaian sekolah dengan kos RM858,000. Ini disumbangkan oleh sebuah syarikat daripada anak peneroka itu sendiri iaitu PV Pomer Engineering Sdn. Bhd.

“Hari ini ada lapan NGO yang akan menerima agihan sumbangan pakaian persekolahan. Jumlahnya, berbeza-beza mengikut keperluan NGO terbabit,” ujarnya.