Gelinding Bola Dari Longkang Ke Strike

322

Oleh: Ahmad Fadhilah

KUALA TERENGGANU – Bagi pemain yang baru berjinak dengan sukan boling, balingan bola masuk ke longkang adalah lumrah dan kebiasaan sebelum menapak selangkah ke hadapan mendapatkan ‘spare’ atau ‘strike’.

Ketua Ameerah Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat, Asrar Mohamad berkata, perkara yang sama dilalui oleh rata-rata peserta Kejohanan Boling Ameerah DUN Alur Limbat yang kebanyakannya pertama kali bermain dan perlahan-lahan dapat menunjukkan kebolehan masing-masing.

Katanya, kejohanan tersebut bertujuan untukĀ memupuk semangat kesukanan di antara peserta.

“Kita mahu bersukan dan beriadah dalam keadaan mematuhi ajaran agama iaitu menutup aurat.

“Ameerah ingin sekali mendekati wanita muda khususnya golongan remaja dan ibu muda,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Kejohanan Boling Ameerah DUN Alur Limbat dengan kerjasama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Alur Limbat di Paya Bunga Central, semalam.

Dalam perkembangan sama, menurutnya, pelbagai aktiviti lagi akan diadakan termasuklah pengisian rohani (tarbiyah), senam aerobik dan banyak lagi aktiviti luar (riadah) pada cuti sekolah akan datang.

Kejohanan tersebut terbuka kepada seluruh wanita muda DUN Alur Limbat melibatkan 54 orang penyertaan. Acara bermula pada jam 10 pagi sehingga 12 tengah hari.

Turut hadir, Pegawai Beliawanis i-MiTS Terengganu, Tengku Fathimah Tengku Hashim yang merasmikan program tersebut.