Fiqh Puasa Menurut Mazhab Syafie

267

الحمد لله الذي أرسل رسوله بالهدى ودين الحق ليظهره على الدين كله ولو كره الكافرون. أشهد ألا إله إلا الله وأشهد أن محمدا عبده ورسوله. اللهم صل وسلم وبارك على خير خلق الله أجمعين وعلى آله وأصحابه أجمعين. أما بعد :

Sekarang kita berada di ambang bulan yang agong. Bulan yang hanya dikurniakan kepada ummat nabi Muhammad saw sahaja. Bulan hadiah untuk kaum muslimin disebabkan kesedihan nabi saw yang sentiasa memikirkan tentang kebahagiaan mereka. Maka hinalah orang yang tidak mengendahkan kedatangan Ramadhan. Berbahagialah orang yang sentiasa berazam untuk menghidupkan bulan agong tersebut. Untuk itu, maka disediakan risalah yang kerdil ini bertujuan memberi peringatan dan sedikit pedoman tentang perkara yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin pada bulan yang diberkati. Semoga pada bulan Ramadhan kali ini, kita termasuk di dalam golongan yang dibebaskan dari neraka jahannam.

Hanya kepada Allah jua saya mengharapkan keredaan. Moga-moga usaha yang tidak seberapa ini diterimaNya.

وصلى الله على محمد وعلى آله وصحبه أجمعين والحمد لله رب العالمين.

Pengertian Puasa

Puasa ialah menahan diri dari makan dan minum serta melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa mulai dari terbit fajar sodiq sehingga terbenamnya matahari.

Tarikh Kefarduan Puasa

Perintah wajib puasa Ramadhan turun pada bulan Sya’aban Tahun 2 Hijrah. Menurut Abu Hasan Annadawi, pengsyariatan puasa pada tahun yang kedua hijrah bukannya ketika di Mekah adalah disebabkan hikmat yang besar. Allah mengsyariatkan puasa di Madinah bukannya di Mekah untuk memberitahu manusia bahawa pengsyariatan ibadah puasa bukanlah kerana keadaan terdesak orang Islam di Mekah yang kekurangan makanan atau kelemahan ekonomi. Lantaran mereka berpuasa agar dapat meringankan bebanan ekonomi yang mereka hadapi. Tidak sama sekali. Kalau itulah yang berlaku, nescaya orang yang kaya boleh berdalih bahawa mereka tidak perlu berpuasa kerana ekonomi mereka telah teguh.

Hukum Puasa

Hukum puasa terbahagi kepada lima iaitu :

1.Wajib. Puasa bulan Ramadhan, puasa qadha ( qadha puasa wajib ) dan puasa nazar.

2.Sunat.Puasa hari-hari tertentu seperti hari-hari Putih, hari Isnin dan hari Khamis.

3.Haram.Puasa hari-hari yang dilarang berpuasa iaitu pada Hariraya Puasa dan Hariraya Kurban, hari Syak jika tiada bersebab, selepas 15 Sya’ban jika tiada bersebab dan hari-hari Tasyriq. Begitu juga haram perempuan berpuasa sunat tanpa izin suaminya yang berada di rumah bersamanya. Jika sekiranya suami tiada di rumah ( bermusafir ) maka bolehlah ia berpuasa sunat. Begitu juga haram berpuasa bagi orang yang mendapat mudarat kerana berpuasa seperti orang yang masih di dalam rawatan.

4.Makruh. Makruh berpuasa kepada orang yang dalam keadaan ia bimbang puasa memberi mudharat yang besar atau ia tidak mampu menunaikan kewajipan yang segera disebabkan keletihan berpuasa.

5.Harus.Berpuasa kerana hendak berubat dan bukan berniat ibadah.

Rukun Puasa

Rukun puasa ada dua iaitu;
1.Niat mengerjakan puasa pada tiap-tiap malam pada bulan Ramadhan ( puasa wajib ) atau sebelum waktu zohor bagi hari yang hendak berpuasa (puasa sunat). Waktu berniat adalah mulai daripada terbenamnya matahari sehingga terbit fajar(puasa wajib ).

Bagi puasa sunat waktu berniat adalah mulai daripada terbenamnya matahari sehingga masuk waktu zohor dengan syarat tidak dilakukan perkara yang membatalkan puasa bermula masuk waktu subuh sehingga niat dilakukan .

2.Meninggalkan sesuatu yang membatalkan puasa mulai masuk waktu subuh sehingga masuk waktu maghrib.

Ada juga kitab menyebut rukun puasa ada tiga . Rukun yang ketiga ialah orang yang berpuasa. – Pusat Talaqi BR