Enjin ‘Power’

509

Seorang pemilik kereta Mamat, ingin mengubahsuai keretanya. Dia mengumpul wang begitu lama hasil titik peluhnya sendiri. Akhirnya apabila cukup tabungannya, dengan susah payah itu, dia mula mencari pomen.

Dia ada kenal seorang pomen tua di kampungnya, Pak Jib, yang dahulu dia percaya. Tetapi dia agak kurang puashati sebab Pak Jib kuat tipu katanya. Habis duit jer. Enjin dia power jugak boleh tahan, tapi tak sepertimana yang dia mahukan. Jadi dia rasa macam tertipu. Dia memang marah kepada pomen tua ini.

Maka dia pun mencari pomen baru. Dan kebetulannya, adalah seorang pomen yang agak berjiwa muda, yang dicadangkan oleh rakan-rakannya. Katanya pomen ini belajar kat luar negara. Setakat enjin ni, kacang jer dia buat. Dia tahu semua pasal enjin. Bertuah Mamat sebab pomen muda itu baru saja seminggu membuka bengkel tapi agak jauh dari tempatnya. Dia orang pertama mendapat air tangan pomen muda bernama Rafi itu, bagi mengubahsuai enjinnya.

Oleh kerana masih muda, fikir Mamat, mestilah Rafi ini akan ‘setting’ enjin dia dengan ‘pick up’ yang lebih baik, lebih ‘power’ kerana selain melihat penampilannya yang meyakinkan, genius, dan juga sokongan yang sangat kuat daripada kawan-kawannya, pasti hebat kereta Mamat selepas ini. Mamat tersenyum seorang, sambil terlentang, meletakkan tangan di atas dahinya. Kali ini pasti kena dengan seleranya.

Maka Mamat tekad untuk menghantar keretanya bagi diubahsuai oleh Rafi itu. Janji pomen, dalam masa seminggu, kereta Mamat, akan siap dengan segala kelengkapan dan jauh lebih berkuasa daripada yang pernah Mamat lakukan dulu dengan Pak Jib. Rafi dengan bangganya menunjukkan formula-formulanya yang dia belajar dahulu begitu begini kepada Mamat, sambil mengutuk Pak Jib yang dah tua, tak tahu apa katanya. Meleleh air liur Mamat mendengarnya.

Mamat begitu gembira. Mamat menanti, dua hari kemudian, Mamat menjenguk keretanya, tapi masih seperti itu, tidak lagi disentuh. Mamat bertanya Rafi. Lalu dijawabnya, bengkelnya sekarang menerima tempahan yang banyak bagi mengubahsuai enjin. Walaupun begitu, kereta Mamat akan dibuat segera, kerana Mamat sudah membayar semua belanjanya, janji Rafi.

Empat hari Mamat datang lagi, enjin sudah mulai dibuka. Melonjak hati Mamat sebab sudah terbayang kuasa enjinnya nanti. Baru sedap meluncur di jalan. Rafi tersenyum melihat gelagat Mamat sambil menepuk-nepuk bahu Mamat. Kita tengah order barang sebab dah habis stok. Enjin baik, mesti barang dari oversea. Mamat ketawa menyeringai. Dipuji orang, memanglah gembira.

Seminggu berlalu, Mamat menjengah lagi. Masih terbongkang enjin keretanya, tak disentuh lagi. Rafi segera menyejukkan hati Mamat, sabar, kan ‘spare part’ kita ‘order’ dari oversea. Takkan tiga hari dah sampai. Minggu depan mungkin dapat kut. Nanti kalau barang dah sampai, saya bagitahu. Saya faham Mamat nak segera, tapi apa nak buat, barang untuk enjin Mamat ni, mesti baik-baik, ‘first class’. Mamat ketawa lagi dipuji.

Mamat sabar menunggu. Oleh kerana bengkelnya terletak agak jauh dari rumahnya, dia tidak boleh pergi selalu. Dia cuba telefon pada hari ke 11. Jawab si Rafi itu, dia dah dapat tracking pos barang itu. Dalam perjalanan katanya. Mamat gembira sungguh, macam kena loteri bila dengar barangnya dah nak sampai. Rafi tu pesan, tak payahlah call, nanti sampai dia bagitahu sebab banyak juga kereta lain yang dia nak baiki. Mamat akur.

Hari ke 14, Mamat tak call, Mamat tunggu Rafi call. Hari 15 pun, sama. Sampailah tiga minggu. Mamat tak sedap hati. Mamat call jugak. Rafi tak jawab. Mamat call lagi dan lagi. Mamat tak sedap hati, walaupun Mamat cuba menyedapkan hatinya. Ditambahnya garam, gula, perencah secukup rasa untuk hatinya menjadi sedap, tapi tak juga sedap.

Mamat pun meminta bantuan kawannya untuk ke bengkel Rafi sendiri. Sampai Mamat di bengkel, Mamat lihat ramai orang berkerumun dan ada sekeping kertas di dinding bertulis “SAYA DAH BERHENTI JADI POMEN. SAYA NAK CEBURI BIDANG LAIN. SILA AMBIL SEMULA KERETA ANDA”. Celaka betul kata Mamat. Dah beribu duit aku kau kebas, kereta tak siap, engkau lari macam tu jer. Dan bukan dia seorang yang kena, ramai lagi yang percaya dengan Rafi tu.

Mamat nak menangis. Dia terpaksa menabung semula, sambil mulutnya kumat kamit memaki Rafi yang dah lari tu. Nak ‘towing’ kereta duit lagi. Enjin dah terbongkang, tak ditutupnya balik. Sebiji macam perangai berak tengah jalan, tak basuh berak, lepas tu tahi terpijak orang lain pulak. Dulu janji dengan formula bukan main, nasib baik kereta aku tak jadi kereta terbang, leter Mamat.

Sambil naik kereta towing yang dia berhutang, Mamat pun terbayang muka pomen tua, Pak Jib yang dia benci yang ada kat kampung seperti  tersenyum menganjing kepadanya. Mamat serba salah. Arhhh… sudahlah, dengan orang tua tu, kurang-kurang boleh juga aku berhutang dulu. Kereta tak power mana pun tak apa, asal boleh jalan. Ni janji seminggu siap, entah apa-apa, last-last dia berhenti jadi pomen.

Duit dah habis, barang tak dapat getus Mamat dalam hati. Muka Mamat dah tak ada senyuman lagi. Menyesal lah tu. Geram bila terkenang muka Rafi yang senyum manis masa memujuk, cakap yang lemah lembut, last-last kencing jer. Cisss bedebah…!!! Bentak Mamat mengakhiri lamunannya sambil mengesat titis jernih di pipinya.

Mohd Nasir Abdullah
12 Disember 2019