Elok-elok Dengan Taktik Dia

604
foto yang didakwa sebagai Narendra Modi didakwa diubahsuai dari foto lain sebagai bahan kempen (Modi- kiri)

Di India, ada satu golongan yang dipanggil Shudra. Golongan ini kalau yang kita faham sistem kasta, ia adalah golongan bawahan. Di Malaysia kita panggil mereka Pariah.

Golongan Shudra ini adalah golongan teramai di India. Mereka dahulunya kurang mendapat perhatian dan peluang. Mereka miskin, diketepikan dan sering dihina. Biasanya masyarakat India dikuasai oleh kalangan Brahman atau Brahmin dan Ksatria.

Dari mana asal Brahmin? Saya mendengar dalam kuliah Tuan Guru Presiden PAS bahawa ia berasal daripada nama Nabi Ibrahim. Mereka dikira kasta teratas dan paling mulia. Mereka adalah guru yang mengajar manusia. Ksatria ialah golongan pahlawan dan Vaishyas golongan peniaga.

Apabila India memasuki alam demokrasi ciptaan barat. Golongan Shudra ini tiba-tiba mendapat kebaikan yang banyak dari pemerintah. Ini kerana kemenangan sesuatu parti itu berdasarkan jumlah undi, biar siapapun kamu, asalkan berdaftar sebagai pengundi, kamu layak memilih kerajaan.

Parti Kongres berjaya memanafaatkan sistem ini dengan membuka banyak peluang kepada kumpulan Shudra. Bahkan satu ketika Indra Ghandi pernah ke kawasan pendalaman yang hanya boleh sampai ke sana dengan menggunakan gajah sahaja.

Maka menangislah rakyat di kawasan itu yang melihat Perdana Menteri India sampai ke kampung mereka di pendalaman India. Mereka berikrar akan menyokong Kongres sahaja kerana melihat kesungguhan PM datang melawat rakyatnya.

Diantara keistimewaan yang diberikan kepada Shudra, mereka memperolehi biasiswa. Kemasukan ke pusat-pusat pengajian misalnya akan diberikan keutamaan kepada mereka. Markah kelayakan masuk mereka lebih rendah daripada Brahmin.

Peluang-peluang pekerjaan juga dibuka dengan luasnya kepada golongan ini. Paling menyakitkan bagi Brahmin ialah, nama Shudra yang gagal pada saringan pertama, akan sekali lagi dimasukkan dalam saringan dengan golongan Brahmin. Maka peluang Brahmin bertambah sempit walaupun mereka mendapat markah yang tinggi.

Tiada parti pun yang berani mengubah kedudukan ini kerana ia adalah risiko terbesar kepada mereka. Pastinya parti yang mahu mengubah itu tidak akan mendapat apa-apa undi. Tetapi bagi kebanyakan kes, Shudra hanya dipergunakan bagi meraih undi.

Narendra Modi, Perdana Menteri India sekarang, dikatakan berasal dari kasta Shudra. Pernah menjadi pembancuh teh, pencuci. Tetapi yang kuat mengatakan dia hanya cuba menggambarkan imejnya sebegitu bagi menarik perhatian Shudra, menjadikannya amat dekat dengan rakyat. Dia berasal dari kasta yang lain. Dia hanya menyamar mahu memancing undi. Dan berjayalah BJP sekarang, sama macam Kongres dulu.

Macam pernah dengar taktik begini kan? Kat mana, tak tahu? Betul tak ingat? Mari saya bantu…

Pernah dengar kisah orang mengundi dua tiga kali walaupun dah kalah, tapi masih diberi peluang untuk menang pemilihan?
Pernah dengar orang yang kurang undinya, bukan duduk tempat teratas tetapi dilantik jadi Presiden?
Pernah dengar pasal mereka kononnya sehati sejiwa dengan rakyat sebelum PRU, kemudiannya memperbodohkan rakyat?
Ingat tak lambang kumpulan mereka meniru satu lambang dari India?
Narendra Modi seorang yang membenci dan menyerang Islam, macam nak sama dengan orang cadang nak buang perkataan Islam dari parti?

Dan bonus tambahan, dahulu ada seorang bekas pimpinan PAS yang diberitahu kepada saya bahawa dia sangat hebat kerana zuhud yang tinggi. Dia hanya mempunyai sehelai sahaja baju, tiada yang lain untuk ditukar. Begitulah dikatakan dia menjauhi dunia. Saya cuma berfikir, takkanlah diketika orang berebut nak bantu pimpinan dia tak dihiraukan sedangkan dia ‘top 5’ PAS waktu itu.

Rupanya benar sangkaan saya. Ianya hanyalah taqiyyah semata-mata. Baju adalah keperluan, bukan kemewahan, maka memiliki baju yang cukup dan sesuai jumlahnya adalah kebiasaan. Rupanya cerita-cerita itu sengaja disebarkan bagi menunjukkan kezuhudan beliau. Ternyata juru kempen beliau itu juga akhirnya keluar PAS.

Jadi awaslah taktik kotor berpolitik yang meniru cara dari India ini, sedang berkeliaran di Malaysia.

Mohd Nasir Abdullah
8 Disember 2019