Ekonomi Malaysia Mampu Kekal Positif

234

Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat menyifatkan prestasi ekonomi Malaysia yang tumbuh pada kadar 0.7% untuk suku pertama 2020, sebagai bukti daya tahannya dalam menghadapi pandemik Covid-19. Walaupun ini merupakan penurunan kadar pertumbuhan yang drastik dan paling rendah sejak tahun 2009, namun ianya berlawanan dengan jangkaan para penganalisa yang terdahulu mengjangkakan ekonomi Malaysia akan mengalami penguncupan sebanyak 1%.

Prestasi yang amat sederhana untuk suku pertama 2020 ini disokong oleh sektor perkhidmatan yang tumbuh pada 3.1% dan sektor pembuatan tumbuh pada 1,5%, manakala sektor-sektor lain mengalami penguncupan.

Berdasarkan data terbaharu suku pertama ini, kami telah membuat analisa dan simulasi semula kepada unjuran kami untuk tahun 2020. Maka dengan itu kami mengjangkakan untuk 2020 Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan mampu tumbuh antara 2.5% hingga 3%.

Jangkaan unjuran ini akan disokong oleh beberapa sektor utama yang, pada jangkaan kami, mampu untuk penyumbangkan pertumbuhan iaitu sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan. Dengan disokong oleh Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin yang telah diumumkan oleh kerajaan kami mengunjurkan sektor perkhidmatan mampu tumbuh pada kadar 5% hingga 5.5% untuk tahun ini manakala sektor pembuatan pada kadar sekitar 3%. Bagi sektor pembinaan pula kami mengunjurkan pertumbuhan pada kadar sekitar 1%.

Pertumbuhan semua sektor-sektor utama ini adalah berdasarkan permintaan yang akan mampu untuk bertahan dan mengekalkan pertumbuhan, disokong oleh program Pakej Prihatin. Bagi permintaan, kami mengunjurkan perbelanjaan sektor swasta akan tumbuh pada kadar sekitar 8% untuk tahun 2020 manakala perbelanjaan kerajaan tumbuh pada kadar sekitar 7%. Sokongan yang diberikan oleh Pakej Prihatin terutamanya dalam bentuk bantuan terus kepada rakyat dan bantuan untuk sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) boleh memastikan permintaan untuk kekal utuh. Manakala Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB) yang dibenarkan kerajaan akan memberi ruang untuk aktiviti ekonomi dipulihkan semula.

Kami juga bersetuju dengan jangkaan para penganalisa bahawa ekonomi akan pulih semula dan boleh berfungsi sepenuhnya dalam separuh kedua 2020. Situasi ini juga akan memberi ruang kepada sektor pembinaan, terutama projek-projek infrastruktur awam, untuk tumbuh dan berjalan sepenuhnya.

Dari segi pasaran buruh pula secara keseluruhannya kami berpandangan ianya masih berada dalam keadaan stabil. Walaupun berlaku peningkatan dalam kadar pengangguran disebabkan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP), yang meningkat kepada 3.5% untuk suku pertama 2020 daripada 3.2% suku sebelumnya, namun ianya bukanlah sesuatu yang membimbangkan. Ini adalah kerana jumlah bilangan keseluruhan buruh meningkat kepada 1.6% atau 15.24 juta orang pada suku pertama 2020. Kami yakin bahawa pasaran buruh yang stabil ini dengan disokong oleh bantuan kerajaan melalui Pakej Prihatin, secara umumnya akan mampu untuk terus menyokong permintaan negara.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi 2
Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan PAS Pusat.

2 Syawal 1441H
25 Mei 2020