Dunia Siber Akan Meriah Jika Dikuasai Pejuang Islam

706

Oleh : Adli Mohamad

KEMAMAN- Dunia siber akan meriah dengan kebenaran Islam jika didominasi serta dikuasai oleh mereka yang mempunyai keperibadian pejuang yang betul.

Ketua Penerangan PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan berkata, sekiranya semua berperanan tentu dunia siber akan dapat dikuasai dan membantu penyebaran Islam di serata dunia.

“Dengan status-status yang murni yang menunjukkan kesucian Islam, kehebatan Islam (dan) kemuliaan Islam.

“Tak perlu tulis panjang, saya percaya tak ramai pandai menulis panjang, buat artikel panjang-panjang. Kalau tulis artikel panjang ternyata ‘viral’ nya tak tinggi. Orang tak baca dan akan (hanya) baca tajuk kemudian terus komen,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Program Ijtimak Siber Malaysia 2019, di Dewan Berlian, semalam, 16 Februari.

Menurutnya, pengamal media perlu kreatif memikirkan cara untuk ‘trending’ dengan cara mengikut batasan dan lunas Islam di media sosial dengan menggunakan cara yang ringkas tetapi boleh menyebabkan pembaca tertarik.

“Sebagaimana Dato Sri Najib terkenal sebagai raja ‘troll’ negara, dia tulis pendek (tetapi) dalam masa setengah jam boleh dapat setengah juta pembaca, ” ujarnya.

Oleh itu kata beliau, program Ijtimak Siber dibuka penyertaan untuk semua pengamal media sosial hadir untuk memberitahu bahawa dalam perjuangan Islam memerlukan pengamal media bagi menyebarluaskan lagi Islam.

“Kita memberitahu bahawa pejuangan Islam ini memerlukan anda (pengamal media) bagi membantu perjuangan Islam.

“Untuk menyebarkan Islam dengan keperibadian sebagai seorang pejuang (Islam) yang hebat,” tambahnya.