Dua Letupan Bom Ragut 17 Nyawa

280

Sekurang-kurangnya 17 maut dalam dua letupan bom di gereja di selatan Filipina, kata tentera hari ini, beberapa hari selepas undian bagi wilayah autonomi baru Islam.

Letupan pertama berlaku di dalam gereja Katolik di Jolo pagi ini ketika satu perayaan dijalankan, dan diikuti dengan letupan kedua di lot letak kenderaan ketika tentera bertindak balas kepada kejadian pertama, kata jurucakap tentera wilayah, Kolonel Gerry Besana.

Gambar yang dikeluarkan polis menunjukkan serpihan berselerak berhampiran pintu masuk gereja dan sebuah trak tentera rosak dengan cermin pecah.

Lima askar dan 12 penduduk awam terbunuh manakala 57 lagi cedera, katanya.

Bagaimanapun, ketua polis negara Oscar Albayalde berkata angka kematian 19, dengan 48 cedera.

“Kami akan menggunakan sepenuhnya kuasa undang-undang untuk membawa dalang kejadian ini ke muka pengadilan,” kata Setiausaha Pertahanan, Delfin Lorenzana.

Tentera berkata, ia memindahkan sebahagian daripada mangsa yang cedera ke bandar raya Zamboanga untuk mendapatkan rawatan. — AFP
“Motifnya jelas, keganasan. Mereka adalah orang yang tidak mahukan keamanan,” kata Besana.